Ringgit susut menjelang pengumuman kadar faedah di AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit susut menjelang pengumuman kadar faedah di AS


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini menjelang keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS lewat malam ini.

Pada 9.05 pagi, ringgit menyusut nilai kepada 4.7675/7720 berbanding dolar AS daripada penutup Selasa 4.7615/7655.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kebanyakan peniaga kini menantikan keputusan FOMC dengan mereka menjangkakan kadar faedah akan dikekalkan.

"Jangkaan tiada kenaikan kadar boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk keadaan ekonomi, trend inflasi, angka pekerjaan dan panduan ke hadapan bank pusat AS. Jika bank pusat percaya ekonomi tidak terlalu panas dan inflasi terkawal, ia mungkin memilih untuk mengekalkan kadar faedah bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.

"Selain itu, pasaran kewangan turut memantau rapat mesyuarat dan pengumuman bank pusat AS yang memberi isyarat atau hala tuju kadar faedah, kerana keputusan ini boleh mempunyai implikasi yang ketara untuk pelbagai aset kewangan termasuk bon, saham dan mata wang," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan ringgit akan kekal stabil pada kira-kira RM4.76 berbanding dolar AS selepas menghampiri RM4.80 pada pertengahan Oktober.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Nilai ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.1496/1530 daripada 3.1588/1616, meningkat berbanding euro pada 5.0397/0445 daripada 5.0729/0772 dan lebih tinggi berbanding pound Britain kepada 5.7858/7913 daripada 5.8014/8063.

Mata tempatan bagaimanapun bergerak bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN yang lain.

Nilai ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4794/4830 daripada 3.4867/4902 dan tinggi berbanding baht Thai pada 13.1626/1805 daripada 13.2371/2544.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding peso Filipina pada 8.40/8.41 daripada 8.39/8.40 dan rendah berbanding rupiah Indonesia pada 300.1/300.5 daripada 299.7/300.1 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini