Bank pusat AS dijangka turunkan kadar faedah bermula Jun - StanChart - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Bank pusat AS dijangka turunkan kadar faedah bermula Jun - StanChart


KUALA LUMPUR: Standard Chartered (StanChart) menjangkakan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan melaksanakan pemotongan kadar faedah pertama pada Jun ini.

Ketua Penyelidikan Global G10 FX dan Strategi Makro Amerika Utara Cawangan NY Standard Chartered Bank, Steve Englander, berkata bagaimanapun ada kemungkinan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS melaksanakan penurunan lebih awal iaitu pada Mei ketika FOMC bermesyuarat dengan teras Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) dijangka perlahan kepada 2.6 peratus tahun ke tahun.

"Ini meninggalkan kemungkinan kecil pemotongan kadar dasar pada Mei. Kami tidak menjangkakan berlaku pemotongan Mei, tetapi mungkin terdapat beberapa reaksi pasaran yang positif jika data PCE teras bagi Februari dan Mac membolehkan 2.6 peratus PCE tahun ke tahun bagi Mei," katanya dalam nota penyelidikan.

Englander berkata, walaupun terdapat sedikit kekecewaan pada PCE Februari dengan Pengerusi Fed, Jerome Powell mencadangkan bahawa PCE teras bulan ke bulan berada jauh di bawah 0.3 peratus, sasaran yang berkurangan berkemungkinan bermakna terdapat kurang tindak balas pasaran.

"Sebaliknya, kesan asas bermakna bahawa ia akan mengambil angka bulan ke bulan jauh di bawah 0.2 peratus pada separuh kedua untuk mencecah ke unjuran PCE teras suku keempat Fed.

"Tetapi buat masa ini pasaran melihat pada mesyuarat suku kedua bukannya keempat," katanya.

Beliau berkata, peralihan menaik dalam unjuran inflasi teras 2024 dan ketiadaan sebarang anjakan dalam jangkaan laluan pemotongan menandakan bahawa FOMC tidak melihat inflasi yang lebih tinggi secara sederhana sebagai penghalang untuk mengurangkan kadar dasar.

"Kami berpendapat bahawa FOMC mahu melihat inflasi di bawah 2.5 peratus sebagai prasyarat untuk mengurangkan kadar, tetapi unjuran mencadangkan bahawa mereka menjangkakan untuk meredakan dasar monetari walaupun jika inflasi teras tahun ke tahun lebih tinggi.

"Reaksi pasaran adalah positif. S&P naik 0.9 peratus dan dolar AS jatuh 0.38 peratus. Hasil Perbendaharaan 10 tahun AS mendatar tetapi hasil dua tahun turun enam mata asas, manakala hasil lima tahun susut tiga mata asas

"Pemotongan tujuh mata asas telah ditambah kepada pemotongan terkumpul yang dijangkakan menjelang mesyuarat Disember 2024," katanya.

Englander berkata, buat masa ini, Standard Chartered berpegang pada empat pemotongan kadar dasar dana Fed.

"Kebanyakan peserta pasaran telah menjangkakan peralihan kepada dua pengurangan dalam unjuran kerana hasil inflasi yang lebih tinggi baru-baru ini. Berpegang kepada tiga pemotongan dan secara tersiratnya ia meningkatkan ambang inflasi menunjukkan keinginan untuk mereda.

"Bersama-sama dengan komen Powell, ini kelihatan seperti Fed mahu memotong jika boleh; jika ia bermula pada Jun, ia boleh mendapat ruang untuk tiga lagi pemotongan kadar faedah pada separuh kedua 2024," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini