Ringgit terus mengukuh didorong oleh sentimen positif - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus mengukuh didorong oleh sentimen positif


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan pengukuhannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Khamis, didorong oleh sentimen positif selepas bank pusat AS dijangka tidak melaksanakan sebarang pengurangan kadar faedah dalam masa terdekat, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.7140/7170 berbanding dolar AS daripada paras 4.7335/7400, semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata langkah Rizab Persekutuan AS (Fed) mengekalkan pendiriannya berkaitan pengurangan kadar faedah sebanyak tiga kali tahun ini terbukti membantu memulihkan sentimen pasaran.

Malah, ringgit turut menyertai mata wang serantau lain yang mencatat pengukuhan berbanding dolar AS.

"Keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS semalam adalah bukti jelas bahawa jangkaan berkaitan penurunan kadar faedah itu tidak terjejas.

"Sekarang hanya menunggu masa serta jumlah pengurangan bagi kadar faedah itu," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) juga terus mengulangi bahawa ringgit telah terkurang nilai atau dinilai rendah, sekali gus membuka laluan bagi kemungkinan peningkatannya pada lewat tahun ini.

"Memandangkan BNM berkemungkinan besar mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bagi keseluruhan tempoh 2024, perbezaan kadar faedah dengan kadar AS akan berkurangan apabila pihak bank pusat AS mula menurunkan kadar itu seawal Jun ini," katanya.

Pada akhir urus niaga hari ini, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1200/1222 daripada 3.1207/1252; susut berbanding euro kepada 5.1444/1477 daripada 5.1306/1377 semalam dan rendah berbanding pound Britain kepada 6.0202/0241 daripada 6.0082/0165.

Unit tempatan itu bagaimanapun diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN lain.

Ia mengukuh berbanding baht Thailand pada 13.0712/0850 daripada 13.0821/1048; meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.41/8.42 daripada 8.43/8.45 dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 300.8/301.1 daripada 301.2/301.6 sebelum ini.

Namun, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.5205/5230 daripada 3.5204/5255.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini