Ringgit mungkin diniaga sekitar RM4.78 sedolar AS minggu ini - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit mungkin diniaga sekitar RM4.78 sedolar AS minggu ini


KUALA LUMPUR: Ringgit mungkin diniagakan dalam julat yang sama sekitar RM4.78 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu ini, memandangkan situasi di Asia Barat akan terus dipantau pelabur, kata penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sebarang bentuk peningkatan ketegangan akan menyebabkan permintaan yang lebih tinggi terhadap dolar AS.

"Justeru, ringgit dijangka kekal pada paras semasa minggu ini," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pada masa sama pasaran akan meneliti pengukur inflasi pilihan Rizab Persekutuan AS (Fed) iaitu indeks harga perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE).

"Nampaknya kenyataan teori mengenai pengurangan kadar faedah semakin hilang daya tarikannya kerana inflasi dijangka kekal tinggi sejajar dengan keadaan pasaran buruh yang stabil," katanya.

Sementara itu, penyelidikan oleh Kenanga Invesment Bank Bhd menjelaskan prospek pertumbuhan yang stabil dan sokongan berterusan pihak berkuasa mungkin membantu mengekalkan ringgit yang stabil.

Secara teknikal, USD/MYR dijangka berubah neutral kepada menurun minggu ini, dengan pasangan mata wang itu mungkin didagangkan hampir purata pergerakan eksponen (EMA) lima hari pada 4.78, tambahnya.

"Unit tempatan boleh mengukuh berbanding dolar AS jika sentimen risiko bertambah baik, dengan sokongan serta-merta pada 4.781," menurutnya.

Pada 15 April, Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan pihaknya bersedia untuk menggunakan instrumen yang ada bagi memastikan pasaran kewangan Malaysia kekal teratur dan terus berfungsi secara cekap dalam keadaan ketegangan geopolitik yang berterusan.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit susut kepada 4.7810/7855 berbanding dolar AS daripada 4.7680/7730 minggu lalu.

Unit domestik didagangkan tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama lain, disokong oleh lantunan teknikal selepas penyusutan tiga hari dan juga didorong oleh sentimen positif susulan unjuran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang lebih baik berbanding jangkaan.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang 3.9 peratus pada suku pertama 2024 berdasarkan jangkaan awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 3.0 peratus pada suku keempat 2023, diterajui sektor perkhidmatan.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0947/0978 daripada 3.1098/1133 minggu lepas, dan naik berbanding pound British kepada 5.9533/9589 daripada 5.9562/9624.

Walau bagaimanapun, unit domestik susut berbanding euro kepada 5.0961/1009 daripada 5.0808/0861.

Ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang negara Asean lain kecuali dolar Singapura.

Unit tempatan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9668/9847 daripada 13.0831/13.1036 pada Jumaat minggu lepas dan tinggi berbanding peso Filipina kepada 8.30/8.31 daripada 8.43/8.44.

Ringgit lebih kukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 293.9/294.4 daripada 300.8/301.3 pada Jumaat minggu lepas namun, rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.5113/5149 daripada 3.5090/5129.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini