Ketegangan Asia Barat, ringgit diniagakan rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ketegangan Asia Barat, ringgit diniagakan rendah


KUALA LUMPUR: Ringgit diniagakan rendah berbanding dolar AS pada sesi dagangan awal hari ini berikutan ketegangan di Asia Barat yang berterusan.

Perkara itu menyebabkan harga minyak mentah terus meningkat, memberikan cabaran kepada bank pusat untuk mencapai matlamat inflasi mereka pada tahun ini yang akan membawa kepada persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi, terutamanya di Amerika Syarikat (AS).

Pada 9.01 pagi, ringgit susut kepada 4.7840/7900 berbanding dolar AS daripada 4.7810/7855 pada Jumaat lepas.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid, ringgit dijangka kekal rendah dalam tempoh terdekat berikutan Rizab Persekutuan (Fed) AS dilihat tidak tergesa-gesa untuk meredakan pendirian dasar monetarinya dalam masa terdekat.

Indeks harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) keseluruhan AS dijangka meningkat kepada 2.6 peratus pada Mac daripada 2.5 peratus manakala PCE teras dijangka sederhana kepada 2.6 peratus daripada 2.8 peratus.

"Pegawai Fed telah memberi isyarat mengenai keperluan untuk mengekalkan kadar faedah pada paras semasa untuk membawa kadar inflasi ke arah sasaran 2.0 peratus. Langkah itu dijangka menjadi positif kepada dolar dalam tempoh terdekat," katanya kepada Bernama.

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama kecuali berbanding euro apabila ia merosot kepada 5.0974/1037 daripada 5.0961/1009 pada Jumaat lepas.

Mata wang tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 3.0932/0971 daripada 3.0947/0978 dan meningkat berbanding pound kepada 5.9207/9281 daripada 5.9533/9589 sebelum ini.

Ia diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9420/9631 daripada 12.9668/9847 pada Jumaat lepas dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.5107/5153 daripada 3.5113/5149.

Ringgit tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 8.30/8.32 dan merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 294.1/294.7 daripada 293.9/294.4 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini