Usaha terselaras kukuhkan ringgit, tiada rancangan kawalan modal - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Usaha terselaras kukuhkan ringgit, tiada rancangan kawalan modal


KUALA LUMPUR: Tahap ringgit pada masa ini adalah di bawah nilai saksama meskipun asas-asas ekonomi Malaysia terus kukuh dan prospek ekonomi adalah positif, kata Pengerusi Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) dan Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid.

"BNM tidak mempertimbangkan kawalan modal atau sekatan seperti yang dilaksanakan semasa Krisis Kewangan Asia (AFC) disebabkan oleh potensi kesan buruk terhadap ekonomi," katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat FMC yang diadakan hari ini untuk membincangkan perkembangan terkini pasaran pertukaran asing ringgit.

Mesyuarat itu mendapati, ringgit satu-satunya mata wang serantau yang mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak 26 Februari, iaitu meningkat sebanyak 0.6 peratus.

BNM dalam kenyataan sama berkata, dalam tempoh itu, purata jumlah pertukaran asing (FX) harian adalah sebanyak AS$17.6 bilion berbanding dengan AS$15.5 bilion pada tahun 2023.

Bank pusat berkata, ahli-ahli FMC mengambil maklum tentang aktiviti penukaran FX yang lebih tinggi dalam pasaran FX tempatan, yang didorong oleh aliran ketara yang berpunca daripada usaha terselaras dan kesempatan menjual dolar AS yang digunakan oleh sesetengah pengeksport.

Katanya, mesyuarat berpandangan bahawa usaha-usaha terselaras yang sedang dilaksanakan dapat dikekalkan berikutan tumpuan yang diberikan pada pendapatan pelaburan dan hasil eksport yang bersifat berulang.

"Selain itu, pengukuhan ringgit yang lebih berterusan mampu meningkatkan minat yang lebih meluas untuk penukaran FX oleh syarikat korporat yang mempunyai lebihan pegangan mata wang asing, lantas memberikan sokongan lanjut terhadap sentimen ringgit.

"Mesyuarat ini khususnya terdorong oleh usaha-usaha yang dipertingkatkan oleh BNM bagi menggalakkan penukaran FX oleh syarikat korporat dan perniagaan Malaysia," katanya.

BNM berkata, selepas mesyuarat FMC yang terakhir pada 1 Mac 2024, pergerakan ringgit dan mata wang serantau terus didorong oleh faktor-faktor global, khususnya ketidakpastian mengenai jangka masa dan tahap pelarasan kadar faedah oleh bank-bank pusat global.

Hal ini, kata BNM terus dibuktikan oleh data pasaran pekerja ASyang lebih kukuh daripada jangkaan pada 5 April 2024 yang menunjukkan ekonomi negara itu yang lebih berdaya tahan, lantas meningkatkan risiko Rizab Persekutuan (Fed) mengekalkan kadar faedah yang lebih tinggi bagi tempoh yang lebih lama.

"Walau bagaimanapun, mesyuarat menyatakan bahawa jangkaan pasaran terus kekal bagi Fed untuk menurunkan kadar faedah pada separuh kedua tahun 2024," katanya.

Mesyuarat juga menyatakan bahawa pada pagi ini, ringgit didagangkan dalam keadaan yang teratur.

Nilai ringgit pada waktu dagangan dibuka adalah pada 4.7475, iaitu nilai yang sama semasa waktu dagangan ditutup pada akhir hari Jumaat lalu, dan pergerakannya selaras dengan mata wang serantau lain.

Mesyuarat telah membincangkan secara lanjut kesan usaha-usaha terselaras yang dilaksanakan bagi menggalakkan aliran masuk yang lebih konsisten oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta libat urus yang lebih meluas dengan syarikat korporat dan perniagaan di Malaysia.


Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini