Harga emas berpotensi cecah RM379 segram menjelang akhir tahun - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga emas berpotensi cecah RM379 segram menjelang akhir tahun


KUALA LUMPUR: Harga emas dijangka akan terus meningkat dalam sukuan berikutnya dengan berpotensi mencecah AS$2,500 seaun atau RM379 satu gram menjelang akhir tahun ini, kata penganalisis.

Pakar Strategi Logam Berharga UBS Investment Bank, Joni Teves, berkata terdapat beberapa faktor positif yang menyokong harga logam berharga itu untuk terus mencatat paras tinggi baharu dalam sejarah.

"Pergerakan harga emas yang mantap didorong oleh pelbagai faktor seperti permintaan kukuh China dan permintaan tinggi untuk emas fizikal yang meletakkan asas yang kukuh bagi harganya.

"Belian emas juga kukuh beberapa tahun lalu. Ketegangan geopolitik, ketidaktentuan makroekonomi global dan jangkaan pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) akan menyokong harga untuk terus meningkat," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media secara maya bertajuk 'Minyak dan Emas - Adakah harga akan kekal tinggi' bagi mengulas mengenai prospek harga emas dan sasaran harga bagi tahun ini.

Emas mencecah rekod baharu AS$2,450 seaun atau RM369 satu gram pada Isnin lalu berikutan keyakinan yang semakin meningkat terhadap pengurangan kadar faedah AS dan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.

Logam berharga itu menjadi tumpuan selepas berita bahawa Presiden Iran, Ebrahim Raisi terbunuh dalam nahas helikopter pada Ahad lalu.

Insiden terbaharu itu secara tidak langsung menambahkan lagi risiko geopolitik yang semakin meningkat di seluruh rantau itu.

Pengukuhan harga logam berharga itu juga telah dikaitkan dengan pembelian oleh bank pusat, permintaan kukuh dari Asia terutamanya China dan ketegangan geopolitik yang meningkat di Ukraine dan Asia Barat.

Rali dalam harga emas juga memberi limpahan kepada logam lain, termasuk perak, yang sebelum ini telah meningkat ke paras tertinggi sejak Disember 2012.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini