Ringgit dijangka teruskan aliran rendah berbanding dolar AS minggu ini - Penganalisis - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers
InstaForex

Ringgit dijangka teruskan aliran rendah berbanding dolar AS minggu ini - Penganalisis


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka meneruskan aliran rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu ini, kemungkinan pada julat RM4.71 hingga RM4.72, kata penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tumpuan akan terarah kepada pengukur inflasi pilihan Rizab Persekutuan AS (Fed) iaitu Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) dan PCE Teras bagi April.

Beliau berkata selain itu beberapa taklimat oleh pemimpin Fed akan menjelaskan lagi mengenai pendirian monetari Fed.

"Minggu ini, ringgit mengalami beberapa bentuk pembetulan manakala carta teknikal menunjukkan tanda-tanda keadaan terlebih beli yang mengakibatkan aktiviti pengambilan untung berlaku.

"Kami berpendapat peserta pasaran masih berhati-hati mengenai Fed yang tidak melonggarkan pendirian monetari ketat mereka," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata justeru, risiko positif bagi Kadar Dana Fed adalah sesuatu yang tidak boleh diketepikan.

Perkara itu boleh membawa kepada dagangan ringgit pada trajektori yang lemah dalam tempoh terdekat, kata pakar ekonomi itu.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit susut kepada 4.7100/7130 berbanding dolar AS daripada 4.6865/6890 minggu lalu.

Ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Mata wang tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9996/3.0017 daripada 3.0071/0089 minggu lepas namun, turun berbanding pound British kepada 5.9859/9898 daripada 5.9303/9335.

Ringgit juga lemah berbanding euro kepada 5.1000/1032 daripada 5.0816/0843 minggu lepas.

Ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang negara Asean.

Unit domestik rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 294.5/294.7 daripada 293.6/294.0 pada Jumaat lepas, dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4876/4901 daripada 3.4784/4806.

Mata wang tempatan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.09/8.10 daripada 8.13/8.14 dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.8373/8507 daripada 12.9390/9516.


Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini