Pemesatan ekonomi pemangkin pemulihan ringgit - Penganalisis - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Pemesatan ekonomi pemangkin pemulihan ringgit - Penganalisis


KUALA LUMPUR: Pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) adalah selari dengan pengukuhan pasaran saham Bursa Malaysia dan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) sejak penghujung April.

Momentum kenaikan nilai mata wang serta pasaran modal tempatan ini terserlah sejurus selepas pengumuman Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia pada suku pertama tahun 2024 melonjak lebih tinggi daripada unjuran-unjuran ahli ekonomi bebas, kepada 4.2 peratus.

Pada Jumaat lalu, FBM KLCI menokok kepada 1,616.62 mata, paras tertinggi sejak Mac 2022.

Nilai ringgit pula telah meningkat dalam sebulan lalu dan berada di bawah RM4.70 kepada dolar AS.

Penganalisis industri, Nazri Hamdan, berkata selepas pergerakan mendatar FBM KLCI sejak Februari 2024, indeks itu memulakan momentum lonjakan sejak 17 April 2024.

"Pada masa yang sama, sejak 17 April kita nampak ringgit mula bergerak dari 4.79 kepada 4.68 pada 19 April 2024.

"Di samping itu, pembaikan di dalam akaun semasa, atau lebihan daripada transaksi dengan negara luar, juga banyak menyumbang kepada pemulihan ringgit. Pada suku pertama 2024, lebihan akaun semasa Malaysia naik kepada RM16.2 billion. Ini jauh lebih baik daripada suku keempat 2023 sebanyak RM913 juta.

"Pada masa sama, keadaan ini disokong oleh faktor luar seperti data ekonomi AS yang memberikan bayangan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) mungkin akan menurunkan kadar faedah mereka selepas pertengahan tahun 2024," katanya.

Tambah beliau, dalam data inflasi terbaharu AS, kadar inflasi negara itu telah jatuh dari 3.5 peratus pada Mac 2024 kepada 3.4 peratus pada April 2024.

"Penurunan inflasi ini membolehkan Fed tidak lagi menaikkan kadar faedah mereka buat sementara dan ini memberikan kurang tekanan kepada ringgit," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Mohamad Idham Md Razak, berkata ringgit terus menunjukkan prestasi yang memberangsangkan berbanding dolar AS pada minggu ini apabila ditutup lebih tinggi sebagai tindak balas kepada beberapa faktor ekonomi yang menggalakkan.

Katanya, satu pemacu utama ialah selera risiko yang bertambah baik dalam kalangan pelabur, yang telah meningkatkan nilai ringgit.

"Penganalisis mengaitkan kenaikan ini berpunca daripada sentimen pasaran yang optimis dan tinjauan positif terhadap kestabilan ekonomi Malaysia, membantu ringgit ditutup lebih kukuh berbanding dolar AS.

"Selain itu, kenyataan terbaharu daripada Bank Negara Malaysia (BNM) berkenaan penilaian mata wang tempatan telah menimbulkan keyakinan dalam kalangan pedagang, membawa kepada kadar penutupan yang lebih tinggi pada 4.7400/7455 berbanding dolar AS," katanya.

Idham yang juga Koordinator Pusat Keusahawanan Mahasiswa Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) UiTM, berkata peningkatan ringgit ini mencerminkan kepercayaan pasaran yang lebih luas bahawa mata wang tempatan dinilai rendah, yang telah menarik lebih banyak minat belian ringgit sekali gus mengukuh berbanding dolar AS.

"Tambahan pula, prestasi ringgit dirangsang oleh jangkaan potensi jeda dalam kenaikan kadar faedah AS.

"Pasaran memerhati dengan teliti petunjuk ekonomi AS, dan sebarang tanda pelonggaran dalam dasar Fed boleh memberi manfaat kepada ringgit.

"Secara keseluruhannya, lantunan semula mata wang Malaysia adalah isyarat positif untuk prospek ekonomi negara, menunjukkan daya tahan dan persekitaran yang menggalakkan untuk pertumbuhan yang berterusan," katanya.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, baru-baru ini mengunjurkan ringgit akan meningkat kepada RM4.50 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini berikutan pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi antara empat dan lima peratus.

Tinjauan pertumbuhan positif itu adalah berdasarkan kadar inflasi Malaysia yang paling rendah di Asia pada masa ini pada 1.8 peratus, penurunan kadar pengangguran, pemulihan dalam eksport dan rekod pelaburan tertinggi daripada perniagaan asing dan tempatan.

Lebih penting, usaha kerajaan untuk mereformasi ekonomi dengan menambah baik kedudukan fiskal negara dan membuka industri-industri berpertumbuhan tinggi juga akan menyokong pengembangan ekonomi.

Ringgit juga berjaya mengatasi kebanyakan mata wang serantau pada April lalu, walaupun menyusut satu peratus bulan ke bulan berbanding dolar AS.

Prestasi ringgit yang bertambah baik berbanding mata wang rakan dagangan utama Malaysia dicerminkan dalam indeks ringgit wajaran dagangan MIDF Research, yang melonjak lebih tinggi sebanyak 0.3 peratus bulan ke bulan kepada 85.24 pada April.

Ini terutamanya dapat dilihat apabila mata wang tempatan mengukuh berbanding yen Jepun (naik 0.2 peratus) dan rupiah Indonesia (naik 0.11 peratus).

Ringgit juga mencatatkan keuntungan kukuh berbanding peso Filipina (naik 1.6 peratus bulan ke bulan) dan dolar baht Thai (naik 1.3 peratus bulan ke bulan).

Ia juga meningkat sebanyak 1.6 peratus berbanding won Korea.

Inisiatif terselaras oleh kerajaan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta libat urus dengan syarikat korporat dan pengeksport menghasilkan aliran yang lebih besar dan lebih konsisten ke dalam pasaran pertukaran asing.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini