Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada Jumaat susulan data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Amerika Syarikat (AS) yang kukuh, memberi petunjuk bahawa penurunan kadar faedah AS tidak akan berlaku seperti dijangka, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.7100/7130 berbanding dolar AS daripada 4.7020/7055 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sejak minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dikeluarkan pada Rabu, ringgit semakin lemah berbanding dolar US.

Beliau berkata Rizab Persekutuan (Fed) AS akan mempertimbangkan untuk mengenakan kadar faedah yang lebih tinggi jika inflasi menjadi lebih tinggi.

"Minggu ini, ringgit mengalami beberapa bentuk pembetulan teknikal kerana ia meningkat tinggi berbanding dolar AS.

"Carta teknikal telah menunjukkan beberapa keadaan lebihan belian yang mengakibatkan aktiviti pengambilan untung berlaku," katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan hari ini, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan melonjak berbanding yen Jepun kepada 2.9996/3.0017 daripada 3.0012/0036 ketika ditutup pada Khamis, susut berbanding euro kepada 5.1000/1032 daripada 5.0993/1031 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.9859/9898 daripada 5.9824/9868 semalam.

Ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Ia menokok berbanding baht Thailand kepada 12.8373/8507 daripada 12.8688/8833 sebelumnya dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.09/8.10.

Bagaimanapun, unit tempatan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.4876/4901 daripada 3.4843/4874 pada penutupan semalam dan berkurangan berbanding rupiah Indonesia kepada 294.5/294.7 daripada 294.0/294.2 sebelumnya. 






Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini