Bank pusat Eropah dijangka mula turunkan kadar faedah dari paras tertinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Bank pusat Eropah dijangka mula turunkan kadar faedah dari paras tertinggi


FRANKFURT: European Central Bank (ECB) dijangka akan mula mengurangkan kadar faedah dari paras tertinggi pada Khamis ini, penurunan pertama dalam tempoh hampir lima tahun, namun situasi inflasi yang masih tidak menentu menjadikan prospek masa hadapan masih tidak pasti.

Selepas satu siri kenaikan kadar faedah yang belum pernah terjadi sebelum ini di zon euro, iaitu bermula pada pertengahan 2022 untuk mengawal kenaikan kos tenaga dan makanan yang melambung, kadar inflasi perlahan-lahan turun menuju sasaran dua peratus seperti yang disasarkan olah ECB.

Kadar faedah kekal tidak berubah sejak Oktober, justeru menjadikan jangkaan hampir pasti bank pusat akan mengurangkan kos pinjaman sebanyak satu perempat mata peratusan pada Khamis ini, yang akan menyaksikan kadar deposit utama turun kepada 3.75 peratus.

Langkah ini akan memberi dorongan yang sangat diperlukan untuk ekonomi zon euro yang sedang berdepan cabaran dan ia akan menjadi pengurangan pertama sejak September 2019.

Langkah ini juga menandakan ECB menyimpang dari dasar Rizab Persekutuan AS, yang juga telah menaikkan kadar faedah secara agresif, tetapi dijangka tidak akan mula mengurangkan buat masa ini sehingga terdapat data yang lebih meyakinkan untuk berbuat demikian.

"ECB hampir pasti akan mengurangkan kadar dasarnya. Langkah ini telah lama dijangka oleh pasaran," kata Frederik Ducrozet, Ketua Ekonomi Pictet Wealth Management.

"Fokus sekarang akan beralih kepada apa yang akan berlaku selepas Jun."

Kempen pengetatan ECB bermula selepas inflasi didorong lebih tinggi oleh pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada 2022 dan masalah rantaian bekalan berkaitan pandemik, dengan bank menaikkan kadar sebanyak 10 kali berturut-turut.

Namun begitu, pengurangan yang dijangka pada Khamis ini tidak mungkin menandakan permulaan kitaran penurunan yang agresif.

Walaupun kenaikan harga pengguna telah perlahan dari paras puncak lebih 10 peratus pada akhir 2022, apabila Eropah dibebani kos tenaga, menurunkan inflasi ke sasaran ECB terbukti sukar.

Data minggu lalu menunjukkan bahawa inflasi di 20 negara yang menggunakan euro meningkat pada Mei, dan lebih cepat daripada yang dijangkakan, iaitu kepada 2.6 peratus setahun, naik dari peningkatan 2.4 peratus pada April.

Ekonomi zon euro juga berkembang lebih cepat daripada yang dijangkakan pada suku pertama ketika ia pulih dari kemelesetan, walaupun ia masih perlahan berbanding pertumbuhan kukuh ekonomi AS.

Pelabur akan memerhati dengan teliti untuk melihat jika presiden ECB Christine Lagarde memberikan sebarang panduan tentang kadar pengurangan pada masa hadapan dalam sidang akhbar selepas mesyuaratnya.

Bank pusat juga akan mengeluarkan ramalan terkini untuk pertumbuhan dan inflasi pada Khamis, yang akan mempengaruhi perdebatan pembuat dasar mengenai langkah seterusnya.

Ahli Ekonomi Berenberg bank, Holger Schmieding, menjangkakan bahawa "ECB mungkin tidak akan memberikan kejelasan mengenai prospek lanjut untuk dasar monetarinya", dan terus menegaskan bahawa ia akan bertindak balas terhadap data yang diterima.

Tetapi memandangkan ketidakstabilan data baru-baru ini, peluang untuk pengurangan lain pada mesyuarat ECB seterusnya pada bulan Julai kini dilihat rendah.

Sebaliknya, ramai penganalisis percaya pembuat dasar berharap untuk mengurangkan kadar setiap dua mesyuarat -- jadi sekali setiap suku tahun, kerana bank bertemu setiap enam minggu -- pada masa yang sama mereka mengeluarkan unjuran yang dikemas kini secara berkala.

Pandangan ini diperkuatkan oleh komen terbaru dari Ketua Bank Pusat Belanda, Klaas Knot, ahli majlis pentadbiran yang menetapkan kadar ECB, yang mengatakan kadar akan dikurangkan secara beransur-ansur dengan fokus pada mesyuarat suku tahunan.

Di Amerika Syarikat, data yang lebih kukuh daripada yang dijangkakan menolak jangkaan bahawa Fed, yang akan mengadakan mesyuarat seterusnya pada pertengahan Jun, akan mula mengurangkan kos pinjaman, menyemarakkan spekulasi bahawa ECB juga mungkin menangguhkan tindakannya.

Namun, pembuat dasar kadar eurozone menegaskan mereka merancang laluan mereka sendiri.

Terdapat kebimbangan jika ECB mengurangkan kadar lebih cepat daripada rakan sejawatannya di AS, kerana ini boleh menyebabkan penyusutan nilai euro dan memarakkan inflasi dengan meningkatkan kos import ke zon euro. -

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini