Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers
InstaForex

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit menutup minggu urus niaga yang pendek dengan lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan data ekonomi AS yang lebih lemah minggu ini yang mendahului pengumuman data pekerjaan utama AS lewat malam ini.

Selain itu dengan pemotongan kadar faedah oleh Bank Pusat Eropah (ECB) dan Bank of Canada menunjukkan prospek kadar faedah global yang lebih rendah tahun ini.

Pada jam 6 petang, ringgit mengukuh kepada 4.6900/6940 berbanding dolar AS daripada 4.6935/6965 yang dicatatkan semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata perkembangan ekonomi global terkini memberi gambaran kepada pasaran bahawa kadar faedah telah memuncak dan Rizab Persekutuan (Fed) AS mungkin akan menurunkannya, walaupun agak lambat sedikit.

"ECB mengurangkan kadar faedahnya semalam buat kali pertama sejak 2019 apabila inflasi di zon euro beransur-ansur mereda manakala Bank of Canada mengurangkan kadar dasar utamanya pada Rabu, dan kami menjangka Amerika Syarikat akan mengambil langkah yang sama," katanya.

Sementara itu, data senarai gaji bukan ladang AS akan dikeluarkan lewat malam ini.

Pada penutup urus niaga, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan itu susut berbanding yen Jepun kepada 3.0163/0190 daripada 3.0094/0113, jatuh berbanding pound Britain kepada 6.0009/0060 daripada 5.9997/6.0035 sebelumnya dan lebih rendah berbanding euro kepada 5.1079/1122 daripada 5.1065/1098.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang di negara-negara ASEAN.

Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8465/8627 daripada 12.8660/8798 tetapi tidak berubah berbanding peso Filipina dan kekal kepada 8.01/8.02 sejak ditutup semalam.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.4872/4905 daripada 3.4842/4866 semalam, dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 289.5/289.9 daripada 288.6/288.8 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini