Purata harga minyak brent dianggar pada AS$86 pada separuh kedua - BMI - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Purata harga minyak brent dianggar pada AS$86 pada separuh kedua - BMI


KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah Brent dijangka berpurata pada AS$85 setong pada 2024, justeru ia perlu berlegar sekitar AS$86 setong menjelang separuh kedua 2024 untuk memenuhi unjuran, menurut BMI.

Dalam ulasan tinjauan harga minyak terkininya, BMI berkata harga minyak mentah berada pada AS$83.5 setong pada tahun sehingga tarikh sekarang.

BMI juga mengekalkan anggaran harga minyak mentah Brent tahunan sebanyak AS$82 setong menjelang 2025.

"Berikutan ini, imbangan risiko kepada unjuran kami diletakkan ke arah penurunan.

"Bagaimanapun, kami memilih untuk tidak menyemak semula unjuran kami sekarang, sebaliknya menunggu dan melihat bagaimana harga akan bereaksi menjelang musim permintaan puncak yang akan datang di hemisfera utara," katanya dalam satu nota penyelidikan.

BMI berkata peniaga minyak melihat pemotongan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) mampu menyokong pertumbuhan ekonomi serta permintaan minyak, dan oleh itu, ia sepatutnya memacu Brent.

Rizab Persekutuan AS mungkin akan mengurangkan penanda aras rizabnya kepada 4.75 peratus pada hujung tahun ini daripada 5.50 peratus sebelumnya.

Selain itu, harga Brent telah menjejaki dengan teliti keluaran data ekonomi frekuensi tinggi sejak 18 bulan lepas, dengan keluaran yang melebihi jangkaan konsensus bertepatan dengan kenaikan harga minyak dan sebaliknya.

Secara amnya, pertumbuhan keluaran dalam negara kasar sebenar global semasa diramal kekal stabil pada 2.4 peratus tahun ini dan 2.5 peratus menjelang 2025, turun daripada 2.6 peratus pada 2023, kata BMI.

"Risiko geopolitik kekal tinggi, (dan tiada satu pun) daripada konflik semasa akan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat dengan menunjukkan kepada risiko yang berterusan (jika tahap rendah dan sporadis) akan memberi kesan ke atas harga minyak," katanya.

Bagaimanapun, BMI menegaskan bahawa dolar US mampu memberikan sokongan kepada Brent.

"Kami meramalkan indeks dolar US (DXY) kekal dalam jajaran antara 100 dan 108 tahun ini berbanding 104 semasa.

"Pertumbuhan ekonomi AS yang perlahan termasuk pengurangan kadar faedah yang lebih cepat daripada jangkaan akan memberi tekanan kepada dolar AS.

"Tetapi, persaingan dalam pemilihan Presiden AS akan meningkatkan risiko geopolitik dan secara amnya keadaan menjadi lebih mencabar untuk aset berisiko dalam separuh kedua mampu mendorong dolar AS ke atas, seterusnya, menaikkan harga minyak," katanya.

Mengenai permintaan minyak, BMI meletakkan pertumbuhan tahun ini pada 1.9 juta tong sehari, dengan China dan India menyumbang lebih 40 peratus daripada peningkatan global bersih dalam ramalan penggunaan bahan api pada 2024.

Dari segi penawaran, ia secara amnya telah menyokong harga kerana Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum Plus (OPEC+) mengekalkan pengurusan ketat pasarannya, kata BMI.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini