Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers
InstaForex

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar US hari ini dalam persekitaran beberapa petunjuk mengenai ekonomi Amerika Syarikat (AS), kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, ringgit naik kepada 4.6940/6970 berbanding dolar US daripada 4.6970/6985 pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran buruh AS terus menunjukkan kelemahan dengan Perubahan Pekerjaan ADP lebih rendah daripada jangkaan kepada 152,000 pada Mei berbanding anggaran konsensus sebanyak 188,000.

Terdahulu, dilaporkan bahawa indeks pengurus pembelian ISM Services untuk Mei naik kepada 53.8, melebihi jangkaan pasaran 50.8.

"Sementara itu, penurunan kadar faedah terkini oleh Bank of Canada sebanyak 25 mata asas nampaknya telah meningkatkan daya tarikan dolar AS memandangkan Rizab Persekutuan AS (Fed) tidak akan menurunkan Kadar Dana Fed terlalu awal.

"Oleh itu, ringgit boleh kekal dalam julat ketat hari ini kerana data senarai gaji bukan ladang akan dikeluarkan esok, pada masa sama pasaran bersedia untuk mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) minggu depan," katanya kepada Bernama.

Ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan turun berbanding euro kepada 5.1085/1117 daripada 5.1070/1087 ketika ditutup pada Rabu, merosot berbanding yen Jepun kepada 3.0173/0194 daripada 3.0099/0111 dan berkurangan berbanding pound Britain kepada 6.0093/0131 daripada 6.0040/0023 sebelumnya.

Ringgit kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ia jatuh berbanding baht Thailand kepada 12.8321/8453 daripada 12.7994/8091 pada penutupan semalam, rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.4858/4883 daripada 3.4857/4871 dan merosot berbanding peso Filipina kepada 8.00/8.01 daripada 7.99/7.99.

Unit tempatan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 288.2/288.5 daripada 288.3/288.6 ketika ditutup semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini