KUALA LUMPUR: Ringgit mencatat pengukuhan lebih 3.0 peratus berbanding dolar Singapura sejak awal Julai lalu.
Ia di sebalik mata wang negara jiran itu mempamerkan prestasi yang kedua terbaik di Asia selepas ringgit pada tahun ini dalam perbandingan dengan dolar Amerika Syarkat (AS).
Ringgit yang diniagakan sekitar 3.4701 berbanding dolar Singapura pada awal 1 Julai lalu, mengukuh kepada 3.356 ketika ditutup semalam, kenaikan 3.3 peratus.
Pihak Berkuasa Kewangan Singapura, yang menggunakan kadar pertukaran sebagai alat dasar monetari utamanya, mengekalkan kecenderungan penghargaan untuk mata wang itu dalam mesyuarat Julai lalu untuk mengekang inflasi.
Singapura juga dilaporkan menaikkan unjuran pertumbuhan ekonominya tahun kepada julat antara 2.0 peratus hingga 3.0 peratus, daripada jajaran sebelumnya 1.0 peratus hingga 3.0 peratus, dengan alasan prospek permintaan luar yang kukuh, yang seterusnya menyokong dolar negara itu.
Secara umumnya, dolar AS merosot selepas Pengerusi Federal Reserve AS, Jerome Powell, hampir mengesahkan akan melaksanakan penurunan kadar faedah AS pada bulan hadapan.
Sementara itu Ringgit diniaga lebih tinggi berbanding dolar AS petang ini, mencapai paras tertinggi baharu secara konsisten apabila pedagang melihat peluang untuk mengumpul ringgit dengan pemotongan kadar faedah AS yang dijangka semakin hampir, kata seorang pakar ekonomi.
Pada jam 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.3460/3500 berbanding dolar AS berbanding penutupan Isnin pada 4.3470/3505.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pihak berkuasa Rizab Persekutuan AS sedang memandu pasaran untuk memastikan fungsi teratur pasaran wang dan modal.
"Apa yang penting sekarang ialah pemotongan kadar faedah adalah cara untuk memastikan pertumbuhan ekonomi dapat distabilkan dan kelemahan dalam pasaran buruh dipulihkan.
"Jadi, penurunan perlahan pertumbuhan ekonomi AS adalah senario yang diterima secara meluas. Dengan itu, pedagang dan pelabur sedang memerhati ruang ini dengan teliti," katanya.
Sementara itu, seorang peniaga berkata bahawa mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan pada 17 hingga 18 September hampir pasti.
"Pemotongan kadar faedah ini merupakan pemangkin penting kerana ia mungkin menurunkan hasil bon AS dan melemahkan dolar AS, yang berpotensi membawa kepada aliran masuk modal asing yang besar ke dalam pasaran yang sedang membangun," tambahnya.