Pengukuhan ringgit, keyakinan pelabur bukti kekuatan asas ekonomi Malaysia - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Pengukuhan ringgit, keyakinan pelabur bukti kekuatan asas ekonomi Malaysia


KUALA LUMPUR: Ketahanan ekonomi Malaysia disokong dasar strategik yang telah memperkasa sektor utama, selain memacu kemakmuran negara, tegas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, pengukuhan nilai ringgit, keyakinan pelabur yang berterusan, pelaburan langsung asing (FDI) yang menggalakkan, serta pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua tahun ini adalah bukti kekuatan asas ekonomi negara.

"Walaupun kita berbangga dengan pencapaian ini, harus diakui bahawa ukuran kejayaan sesebuah negara bukan hanya terletak pada angka semata-mata, tetapi juga kesejahteraan rakyatnya.

"Dalam kerangka Ekonomi MADANI, pertumbuhan ekonomi, walaupun penting, mesti bersifat inklusif. Setiap rakyat Malaysia mesti mempunyai peluang untuk meraih manfaat daripada kemajuan ini, yang membawa kepada isu yang sangat penting iaitu literasi kewangan," katanya berucap pada majlis pelancaran inisiatif literasi kewangan FWD Insurance Bhd di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengasas FWD Group, Richard Li; Pengerusi FWD Group, Kamil Khalid Ariff; dan Ketua Pegawai Eksekutif FWD Insurance, Aman Chowla.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, literasi kewangan bukan sekadar mengetahui cara menyimpan atau melabur, tetapi memahami selok-belok pengurusan kewangan untuk membina keselamatan jangka panjang.

"Dengan melengkapkan individu dengan pengetahuan asas ini, kita memberikan mereka asas untuk kestabilan dan pertumbuhan ekonomi

"Dalam dunia hari ini, di mana ketidakpastian ekonomi muncul dengan pantas, literasi kewangan adalah kunci untuk membina ketahanan dan memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai cara untuk menghadapi cabaran," katanya.

Beliau berkata, seperti yang dilaporkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), 54 peratus daripada populasi negara ini memiliki kurang daripada tiga bulan simpanan jika mereka kehilangan pendapatan.

"Angka ini menunjukkan jurang dalam kesiapsiagaan kewangan, tetapi bagaimana kita merapatkan jurang ini? Jawapannya terletak pada kesedaran dan pendidikan untuk semua rakyat Malaysia, satu penyelesaian jangka panjang yang bukan sahaja menyokong kemakmuran individu tetapi juga memperkukuhkan fabrik ekonomi negara kita," katanya.

FWD Insurance hari ini mengumumkan beberapa inisiatif bagi memperkasakan masa depan kewangan golongan muda di Malaysia.

Antara kerjasama yang diumumkan adalah sinergi dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Little Tauke menerusi program 'Kenali Wang Anda', di mana bengkel akan dianjurkan di 100 sekolah rendah di seluruh negara yang bakal memberi manfaat kepada 5,000 murid menjelang 2026.

FWD Insurance juga akan memperluaskan program celik kewangan menerusi JA SparktheDream ke Malaysia. Program itu dapat menggalakkan keterangkuman ekonomi dan sosial dalam kalangan murid sekolah menengah rendah dan meningkatkan kesedaran kewangan di dalam negara.

Bersama ARUS Academy pula, FWD Insurance akan melancarkan inisiatif 'Dana Untuk Kehidupan Uni' bermula dengan lima universiti, program yang bakal membabitkan 10,000 pelajar di Malaysia menjelang 2026.


Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini