KUALA LUMPUR: Krisis geopolitik Asia Barat yang semakin meruncing dijangka boleh memberi kesan terhadap pergerakan harga minyak dunia dan menyokong permintaan terhadap dolar Amerika Syarikat (AS) sebagai mata wang selamat ketika krisis jika ia berlarutan, demikian menurut penganalisis.
Justeru, Malaysia sebagai negara dagang dan pengeksport komoditi sudah pasti akan terkesan oleh situasi itu jika berlarutan dan ia menjadi lebih buruk.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata kenaikan harga minyak dan pengukuhan nilai dolar AS sebagai mata wang selamat menunjukkan pasaran kewangan sudah mulai bimbang dengan krisis di Asia Barat.
Beliau berkata, harga minyak mentah menghampiri AS$72 setong setelah serangan balas peluru berpandu Iran ke atas Israel, manakala dolar AS juga kembali mengukuh dengan indeks dolar AS (DXY) kembali melebihi 101 mata iaitu naik 0.06 peratus dalam satu malam.
Justeru, katanya, ia memberi kesan kepada ringgit yang menyusut 0.12 peratus kepada RM4.16 berbanding dolar AS.
"Sebelum serangan terbaharu Iran, momentum pengukuhan ringgit telahpun terhenti apabila pasaran mata wang mengambil kira pandangan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS bahawa pihaknya tidak akan menurunkan kadar faedah sepantas yang dijangkakan sebelum ini, justeru dolar AS kembali mengukuh setelah mengalami penurunan selesa pengurangan kadar faedah 0.5 peratus dilakukan pada September lalu.
"Lazimnya, setiap kali berlakunya krisis ketenteraan, pengurus dana akan lebih cenderung untuk beralih kepada dolar AS yang dianggap selamat lagi stabil sebagai mata wang global. Ia juga berkait rapat dengan harga minyak mentah dunia," katanya kepada BH.
Aimi Zulhazmi berkata, krisis Russia-Ukraine dua tahun lalu masih lagi belum selesai dengan ia memberi kesan besar kepada kenaikan kadar inflasi dunia bermula 2022, malah harga minyak mentah pernah meningkat hampir AS$120 setong.
Justeru, katanya, seandainya peperangan di Asia Barat itu berlarutan dan berskala lebih besar, ia pasti sekali lagi akan menyebabkan harga minyak mentah kembali meningkat, serentak dengan itu kadar inflasi global juga akan naik semula mungkin melebihi 5.0 peratus.
Beliau berkata, Fed AS juga akan tidak meneruskan pengurangan kadar faedahnya dan mungkin menaikkan kembali untuk mengimbangkan dengan kenaikan kadar inflasi global dan AS.
"Nilai dolar AS akan kembali kukuh dan mata wang lain termasuk ringgit akan kembali menurun selari dengan perubahan pasaran kewangan dunia.
"Pastinya ekonomi global kembali tegang dan lemah lalu mengurangkan permintaan untuk barangan utama keluaran Malaysia," katanya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata konflik itu jika berterusan mungkin ada kesan kepada harga minyak mentah dunia dan juga rantaian perniagaan.
Beliau berkata, Iran adalah negara pengeluar minyak kelima terbesar di dunia, justeru, apabila konflik ketenteraan itu berterusan, ia boleh menjejaskan bekalan minyak mentah dunia dan sekali gus berpotensi memberi kesan kepada kenaikan harga.
Katanya, antara perkara yang boleh berlaku adalah serangan terhadap kawasan pengeluaran minyak di Iran serta laluan kapal minyak mentah di Selat Hurmuz.
"Di samping itu, ketidakpastian terhadap skop konflik iaitu sama ada ia akan membabitkan kuasa besar yang lain serta di rantau negara Arab juga menimbulkan selera risiko yang rendah dan boleh memberi kesan kepada pergerakan mata wang asing.
"Kebiasaannya, mata wang dolar AS akan mengalami permintaan yang tinggi kerana mata wang ini dianggap selamat dan mempunyai kecairan yang tinggi," katanya.