Dolar AS terus kukuh, ringgit dijangka susut nilai minggu ini - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dolar AS terus kukuh, ringgit dijangka susut nilai minggu ini


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu ini, kekal dalam julat sempit minggu ini.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan, berkata data ekonomi AS terutamanya tuntutan pengangguran, dijangka menunjukkan peningkatan berterusan selepas tuntutan pengangguran mingguan minggu lalu menurun sebanyak 9,000 kepada 211,000, iaitu paras terendah dalam lapan bulan.

"Bagi Januari, kami menjangkakan dolar AS akan kekal kukuh, disokong oleh keyakinan pasaran susulan Donald Trump kembali menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) ," katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek juga berkatay, penyusutan nilai ringgit mungkin dapat dikawal oleh peningkatan aliran masuk dana asing ke dalam pasaran modal Malaysia.

"Dengan Wall Street mencapai rekod tertinggi, pengimbangan semula portfolio ke arah pasaran baharu muncul berkemungkinan memberikan sedikit kelegaan untuk ringgit," katanya.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd berkata, mata wang tempatan menghadapi tekanan apabila dolar AS mengukuh dalam persekitaran keyakinan AS dan faktor Trump menjadi Presiden AS buat kali kedua.

"Walaupun asas makroekonomi Malaysia kekal stabil, data AS yang kukuh dan sikap berhati-hati pelabur terhadap Trump mungkin mengekalkan permintaan untuk aset selamat, mempengaruhi ringgit untuk didagangkan melebihi 4.50/USD," katanya dalam nota penyelidikan.

Minggu ini, peniaga akan bersiap sedia untuk data tawaran pekerjaan AS, minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (Fed) AS bagi bulan Disember, laporan pekerjaan ADP dan laporan pekerjaan AS, kesemuanya penting dalam membentuk jangkaan untuk tinjauan kadar faedah bagi 2025.

Sepanjang minggu ini, ringgit kekal diniagakan kebanyakannya berbanding dolar AS disebabkan peningkatan permintaan untuk mata wang selamat di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global yang berterusan, kebimbangan terhadap kemungkinan keputusan Fed AS untuk menurunkan kadar faedah pada 2025 dan data pekerjaan AS yang kukuh.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, ringgit merosot berbanding dolar AS kepada 4.4975/5030 daripada 4.4680/4750 minggu lalu.

Bagi minggu ini, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan naik berbanding pound Britain kepada 5.5800/5869 daripada 5.5904/5991 sebelumnya dan meningkat berbanding euro kepada 4.6288/6345 daripada 4.6543/6616.

Bagaimanapun, ia susut berbanding yen Jepun kepada 2.8606/8643 daripada 2.8300/8346 ketika ditutup minggu lalu.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Ia menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.2828/2871 daripada 3.2846/2900 dan melonjak berbanding baht Thailand kepada 13.0540/0753 daripada 13.1023/1289 namun menguncup berbanding rupiah Indonesia kepada 277.6/278.1 daripada 275.4/276.1 dan berkurangan berbanding peso Filipina kepada 7.73/7.74 daripada 7.72/7.74 minggu lalu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini