KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama lain dalam persekitaran sentimen berhati-hati menjelang penetapan People's Bank of China (PBoC) hari ini, menurut seorang penganalisis.
Pada jam 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.4890/5050 berbanding dolar AS daripada 4.4975/5030 pada Jumaat lalu.
Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata pelabur memantau rapat langkah PBoC, terutamanya selepas bank pusat itu membenarkan yuan luar pesisir melepasi paras utama 7.30 pada Jumaat lepas.
Penetapan PBoC merujuk kepada kadar rujukan harian bank pusat China bagi yuan berbanding sekumpulan mata wang lain. Langkah ini dipantau teliti oleh pasaran kerana ia mencerminkan pendirian Beijing terhadap pengurusan mata wang.
"Pelarasan ini melemahkan yuan luar pesisir, menyebabkan ia melepasi paras 7.35 berbanding dolar AS. Keadaan ini mencetuskan kesan ketara ke atas ekonomi ASEAN.
"Dengan yuan terus lemah di sebalik peningkatan hasil Perbendaharaan AS, ringgit dan mata wang ASEAN lain yang berkait rapat mungkin berdepan tekanan menurun yang lebih besar," katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan, berkata hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia yang kukuh dengan China bermaksud kelemahan yuan boleh menjejaskan daya saing eksport Malaysia, sekali gus memberi tekanan kepada ringgit.
"Yuan yang mempengaruhi pergerakan mata wang Asia secara meluas mungkin menyebabkan ringgit menghadapi cabaran yang sama," katanya.
Menurutnya, pada awal dagangan pagi ini, ringgit mencatatkan kenaikan kecil sebanyak 0.12 peratus berbanding dolar AS. Namun, Indeks Dolar AS (DXY) kekal tinggi pada paras 108.9, meningkat 3.07 peratus berbanding sebulan lalu.
Ringgit turut diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Unit tempatan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8496/8601 daripada 2.8606/8643 pada penutupan Jumaat, naik berbanding pound Britain kepada 5.5771/5970 daripada 5.5800/5869, dan melonjak berbanding euro kepada 4.6259/6424 daripada 4.6288/6345.
Ringgit juga mencatatkan peningkatan berbanding mata wang negara ASEAN.
Ia menokok berbanding baht Thailand kepada 13.0112/0731 daripada 13.0540/0753, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 277.1/278.2 daripada 277.6/278.1, naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2745/2869 daripada 3.2828/2871, dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.71/7.75 daripada 7.73/7.74.