Harga emas dijangka terus melonjak ke paras tertinggi tahun ini - OctaFX - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga emas dijangka terus melonjak ke paras tertinggi tahun ini - OctaFX


KUALA LUMPUR: Harga emas dijangka mencatat paras tertinggi baharu mencecah AS$3,000 (RM13,519.80) satu auns atau RM434.68 segram tahun ini, disokong oleh permintaan tinggi terhadap aset selamat susulan ketidaktentuan politik dan ekonomi global.

Menurut Penganalisis Pasaran Kewangan broker global OctaFX, Kar Yong Ang, peningkatan risiko global bakal mencetuskan permintaan besar terhadap emas sebagai perlindungan nilai berbanding inflasi, hutang kerajaan serta ketegangan geopolitik.

"Permintaan daripada bank pusat yang berterusan menyokong harga emas sepanjang 2024, dan tiada petanda trend ini akan berubah," katanya.

Sementara itu, sektor teknologi dijangka menjadi pemacu utama dalam pasaran ekuiti Amerika Syarikat (AS) tahun depan dengan penerapan serta komersialisasi kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas.

Ang menjelaskan syarikat yang melabur dalam bakat serta infrastruktur AI bakal memperoleh kelebihan daya saing, sekali gus menyaksikan sektor tenaga dan utiliti turut mendapat manfaat.

"Penggunaan AI yang semakin meluas juga mendorong peningkatan permintaan tenaga, memberi prospek cerah kepada syarikat tenaga dan utiliti pada 2025," jelasnya.

Namun, Ang memberi amaran terhadap pelaburan meluas dalam ekuiti AS kerana ia dianggap berisiko tinggi.

"Pelabur wajar memberi tumpuan kepada sektor dan industri tertentu yang mempunyai potensi pertumbuhan mampan," katanya.

Bagi pasaran kripto pula, Ang berpandangan bahawa kenaikan harga bitcoin yang mendadak pada 2024 didorong sentimen optimistik mungkin mengalami pembetulan ketara pada tahun depan.

"Walaupun terdapat risiko penurunan harga, ia sepatutnya dilihat sebagai peluang pembelian bagi pelabur," tambah Ang yang turut menjangkakan prospek cerah sekiranya peraturan industri kripto diperbaiki dan perubahan struktur Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) AS membawa hasil positif.

Ang turut menyatakan impak keputusan pilihan raya Presiden AS 2024 bakal memainkan peranan penting dalam mencorak dasar ekonomi dan perdagangan global.

Dalam senario terburuk, perang perdagangan penuh bakal mengganggu rantaian bekalan dunia, meningkatkan harga pengguna serta mengurangkan pelaburan perniagaan.

Namun, jika senario itu dapat dielakkan, bank pusat global dijangka meneruskan langkah pemotongan kadar faedah, yang berpotensi menarik harga saham dan aset kripto ke paras lebih tinggi.

"Ekonomi global memiliki prospek positif secara fundamental, namun masih dipenuhi ketidaktentuan serta cabaran besar," katanya, menyimpulkan bahawa volatiliti pasaran tukaran asing (forex) pada 2025 dijangka lebih tinggi berbanding 2024.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini