Ringgit stabil pada paras RM4.50 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit stabil pada paras RM4.50 berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit kekal stabil sekitar paras 4.50 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada penutupan dagangan hari ini ketika pasaran menantikan laporan Indeks Harga Pengeluar AS yang dijadualkan dikeluarkan kemudian hari ini.

Pada jam 6 petang, ringgit meningkat sedikit kepada 4.5035/5100 berbanding penutupan Isnin pada 4.5080/5120.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Indeks Dolar AS (DXY) susut kepada 109.445 mata hari ini berikutan laporan mengenai kemungkinan kenaikan tarif secara beransur-ansur oleh pasukan ekonomi Presiden AS yang bakal dilantik, Donald Trump, memberikan sedikit kelegaan kepada sentimen pasaran.

"Walaupun begitu, sentimen pasaran dijangka kekal berhati-hati kerana Rizab Persekutuan AS (Fed) berkemungkinan mengekalkan kadar faedah Fed Fund dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 28-29 Januari berikutan daya tahan ekonomi AS yang masih kukuh," katanya kepada Bernama.

Pada penutupan dagangan, ringgit kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain

Ringgit susut berbanding euro kepada 4.6201/6268 daripada 4.5964/6004 pada Isnin dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.4839/4918 berbanding 5.4592/4640 sebelumnya. Bagaimanapun, ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8510/8553 daripada 2.8706/8733.

Mata wang tempatan turut mencatat prestasi bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 12.9500/9739 daripada 12.9440/9618 pada penutupan sebelumnya dan hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 276.7/277.3 berbanding 276.8/277.2.

Ia juga menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.2889/2939 daripada 3.2788/2822 dan kekal stabil berbanding peso Filipina pada 7.68/7.70 berbanding 7.68/7.69 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini