Ringgit rendah, tanda pemulihan ekonomi AS tingkat permintaan dolar - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit rendah, tanda pemulihan ekonomi AS tingkat permintaan dolar


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan aliran penurunan apabila ditutup lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, susulan tanda-tanda pemulihan ekonomi AS yang terus mencetuskan permintaan terhadap mata wang itu.

Pada jam 6 petang, ringgit susut kepada 4.5090/5135 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.4975/5030 pada Jumaat.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit terus mengalami penyusutan berbanding dolar AS sejajar dengan peningkatan ekonomi negara itu yang mengukuhkan prospek dasar kadar faedah yang lebih tinggi oleh Rizab Persekutuan (Fed) tahun ini.

"Indeks ISM AS bagi sektor pembuatan meningkat kepada 49.3 mata pada Disember, mencatatkan peningkatan untuk bulan kedua berturut-turut. Ekonomi AS yang kukuh akan memberikan sedikit alasan kepada Fed untuk melonggarkan dasar monetarinya, terutamanya apabila terdapat risiko inflasi lebih tinggi akibat pelarasan dasar oleh pentadbiran baharu AS," katanya kepada Bernama.

Beliau menjelaskan bahawa ringgit dijangka kekal lemah sehingga lebih banyak kejelasan diperoleh apabila Donald Trump memulakan penggal kedua sebagai Presiden AS.

Ringgit turut ditutup kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Mata wang tempatan itu mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8583/8614 daripada 2.8606/8643 pada Jumaat tetapi susut berbanding pound Britain kepada 5.6250/6306 daripada 5.5800/5869, serta jatuh berbanding euro kepada 4.6695/6742 daripada 4.6288/6345.

Ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia naik berbanding baht Thailand kepada 13.0194/0308 daripada 13.0540/0753 pada penutupan sebelumnya tetapi lemah berbanding rupiah Indonesia kepada 278.3/278.7 berbanding 277.6/278.1 sebelumnya.

Ringgit juga turun berbanding dolar Singapura kepada 3.2989/3025 daripada 3.2828/2871 dan kekal hampir tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.73/7.75 daripada 7.73/7.74 pada Jumaat.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini