KUALA LUMPUR: Usaha terselaras yang berterusan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menggalakkan aliran masuk yang lebih konsisten akan terus menyokong ringgit tahun ini meskipun berdepan satu lagi tahun mencabar bagi mata wang Asia berikutan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS), demikian menurut penganalisis.
Ketua Penyelidikan Tukaran Asing (FX) Asia HSBC, Joey Chew, berkata terdapat kemungkinan Rizab Persekutuan AS (Fed) memperlahankan pengurangan kadar faedahnya akan menyokong pengukuhan dolar, sekali gus memberi tekanan kepada mata wang Asia termasuk ringgit.
Beliau berkata, sejak empat tahun lalu, mata wang Asia berdepan kesukaran dengan perbezaan hasil mereka dengan AS, yang mendorong pengaliran keluar modal dari Asia dan sukar menarik aliran masuk.
Bagi ringgit, katanya HSBC menjangkakan mata wang tempatan itu akan berada sekitar RM4.60 berbanding dolar AS pada akhir 2025.
Menurutnya, langkah yang telah dilaksanakan sejak tahun lalu seperti arahan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menukar pendapatan dalam mata wang asing mereka kepada ringgit, serta usaha menggalakkan syarikat domestik melabur dalam negara berbanding melabur di luar negara memainkan peranan penting dalam menyokong mata wang tempatan itu.
"Langkah ini membantu menstabilkan permintaan terhadap ringgit, di samping mengurangkan tekanan daripada dolar AS terhadap kadar tukaran ringgit," kata pada webinar mengenai Tinjauan Asia 2025 HSBC hari ini.
Chew berkata, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia turut menyumbang kepada pengukuhan mata wang tempatan.
Beliau berkata, perkembangan positif dilihat dengan meningkatnya minat pelabur asing untuk melabur dalam sektor strategik negara ini, termasuk teknologi hijau dan pembuatan bernilai tinggi.
"Dengan kombinasi aliran FDI yang memberangsangkan dan sokongan daripada dasar domestik, ringgit mampu mengekalkan kestabilannya meskipun berdepan cabaran ekonomi global," katanya.
Mengenai prospek pasaran ekuiti Malaysia, Ketua Strategi Ekuiti Asia Pasifik HSBC, Herald van der Linde, berkata HSBC menjangkakan Indeks FBM KLCI mencapai paras 1,850 mata menjelang akhir tahun ini.
Beliau berkata, Malaysia terus mendapat manfaat daripada perubahan dalam rantaian bekalan global, terutama dalam sektor teknologi.
Katanya, penubuhan pusat data, pengeluaran semikonduktor, dan pelbagai syarikat teknologi lain yang berkembang pesat menjadi pemacu utama.
"Peralihan rantaian bekalan ke Malaysia adalah perkembangan yang sangat positif, terutama dalam sektor teknologi," katanya.
Namun begitu, van der Linde berkata, faktor penilaian relatif dan kedudukan pelabur yang sudah kukuh di pasaran tempatan memberi isyarat bahawa ruang untuk kenaikan tambahan adalah terhad.
Justeru, katanya HSBC kekal neutral terhadap saham-saham Malaysia pada masa ini.