KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka hampir tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini, didorong oleh peningkatan kecil Indeks Dolar AS (DXY) kepada 100.215 mata selepas beberapa hari berada di bawah paras 100 mata.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata prestasi ringgit ketika ini mencerminkan sentimen pasaran yang berhati-hati susulan ketidaktentuan berterusan terhadap dasar tarif AS.
Setakat jam 8 pagi, ringgit berada pada paras 4.4100/4200 berbanding dolar AS, hampir tidak berubah berbanding penutupan semalam pada 4.4100/4155.
"Pasaran masih keliru dengan hala tuju dasar tarif AS memandangkan tiada petunjuk jelas sama ada China akan tunduk kepada tekanan AS untuk memulakan rundingan perdagangan.
"Prestasi negatif niaga hadapan pasaran saham AS juga memberi bayangan bahawa unjuran pendapatan korporat mungkin lebih lemah akibat kesan tarif ke atas China," katanya kepada Bernama.
Beliau menjangkakan ringgit akan diniagakan dalam julat antara 4.41 hingga 4.42 hari ini berikutan pengukuhan dolar AS.
Sementara itu, ringgit diniagakan lebih kukuh berbanding kebanyakan mata wang utama lain.
Ia mengukuh berbanding euro kepada 4.9815/9928 daripada 4.9996/5.0059 pada penutupan semalam, dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0818/0890 daripada 3.0852/0895.
Ringgit turut menguat berbanding pound Britain kepada 5.8353/8485 berbanding 5.8366/8439 semalam.
Namun begitu, prestasi ringgit berbanding mata wang serantau adalah bercampur-campur.
Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3455/3536 daripada 3.3498/3545, tetapi susut berbanding baht Thailand kepada 13.1815/2201 daripada 13.1461/1708.
Ringgit hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 262.0/262.7 berbanding 262.0/262.5 sebelum ini, dan sedikit lemah berbanding peso Filipina pada 7.76/7.79 daripada 7.76/7.78.