Harga emas pukal terus naik, RM458.65 segram - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga emas pukal terus naik, RM458.65 segram


BENGALURU: Harga emas meningkat pada Selasa apabila pelabur beralih kepada aset selamat berikutan ketidaktentuan berterusan mengenai rancangan tarif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang dikhuatiri akan mencetuskan ketegangan perdagangan dan melambatkan pertumbuhan ekonomi global.

Setakat jam 8.15 pagi GMT, harga emas spot naik sebanyak 0.7 peratus kepada AS$3,230.48 seauns, selepas mencatat paras tertinggi sepanjang masa AS$3,245.42 atau RM458.65 segram pada Isnin. Niaga hadapan emas AS pula meningkat 0.6 peratus kepada AS$3,245.70.

Penganalisis UBS, Giovanni Staunovo berkata, "Persekitaran semasa kekal menyokong kenaikan harga emas, namun laluannya tidak akan lurus – akan wujud kejatuhan sementara dari semasa ke semasa."

Dokumen yang difailkan di Federal Register pada Isnin menunjukkan pentadbiran AS sedang mempercepatkan siasatan ke atas import farmaseutikal dan semikonduktor sebagai langkah ke arah pengenaan tarif baharu. Trump pada Ahad menyatakan bahawa kadar tarif bagi semikonduktor import akan diumumkan dalam masa seminggu.

Sebagai lindung nilai terhadap ketidakstabilan global, harga emas terus melonjak sejak tahun lalu, dengan kenaikan melebihi 23 peratus setakat 2025 dan mencatatkan beberapa rekod baharu.

Presiden Rizab Persekutuan Atlanta, Raphael Bostic berkata pada Isnin bahawa ekonomi AS kini dalam fasa "jeda besar" akibat ketidaktentuan dasar tarif dan lain-lain dasar pentadbiran Trump. Beliau menggesa bank pusat untuk mengekalkan pendirian semasa sehingga terdapat kejelasan lanjut.

Pasaran kini menjangkakan pemotongan kadar faedah sebanyak 83 mata asas oleh Rizab Persekutuan tahun ini. Emas, yang tidak menawarkan pulangan faedah, biasanya mendapat manfaat dalam persekitaran kadar faedah yang rendah.

Sementara itu, pelaburan dalam dana dagangan bursa (ETF) emas fizikal di China bagi bulan ini telah mengatasi jumlah keseluruhan bagi suku pertama dan melebihi aliran masuk yang dicatatkan oleh dana tersenarai di AS, menurut data Majlis Emas Dunia.

"Inflasi tinggi, pertumbuhan ekonomi yang perlahan serta ketidaktentuan politik dijangka terus menyokong permintaan emas daripada pelabur dan bank pusat. Kuota import emas baharu di China juga dijangka memberi rangsangan," tambah Staunovo.

Bagi logam berharga lain, harga perak kekal stabil pada AS$32.36 seauns, platinum naik 0.6 peratus kepada AS$957.10, manakala paladium susut 0.4 peratus kepada AS$952.23.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini