KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri urus niaga hari ini dengan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan tindakan peniaga mengambil untung selepas pengukuhan unit tempatan itu baru-baru ini selain ditekan prospek ekonomi global yang tidak menentu.
Pada 6 petang, ringgit susut ke paras 4.2345/2430 berbanding dolar AS daripada 4.2155/2220, semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata peniaga berkemungkinan telah merealisasikan keuntungan dalam pasaran susulan peningkatan ketara mata wang pasaran sedang pesat membangun baru-baru ini.
"Bagaimanapun, gambaran semasa makroekonomi (global) tidak banyak berubah dengan sentimen perniagaan dan pengguna kekal berhati-hati," katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata, mata wang pasaran sedang pesat membangun yang lain susut nilai berbanding dolar AS dengan Indeks Dolar AS (DXY) meningkat kepada 99.018 mata.
"Pihak Lembaga Persidangan AS akan mengumumkan tinjauan terkini mengenai Indeks Keyakinan Pengguna bagi Mei dengan data terkini April mencatat penurunan berterusan kepada 86 mata -- kejatuhan selama lima bulan berturut-turut sejak Disember 2024.
"Pandangan ramai adalah peningkatan kecil kepada 87.1 mata. Ada kemungkinan harga petrol yang lebih rendah itu turut memberi sokongan kepada pengguna sepanjang Mei, walaupun ini dijangka sementara," katanya.
Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama dunia pada akhir urus niaga hari ini.
Ringgit mengukuh berbanding yen kepada 2.9425/9486 daripada 2.9506/9553 semalam namun susut berbanding euro kepada 4.8053/8150 daripada 4.7972/8046 serta rendah berbanding pound kepada 5.7352/7467 daripada 5.7175/7263.
Unit tempatan itu diniagakan rendah berbanding mata wang negara-negara ASEAN.
Berbanding dolar Singapura, ringgit susut kepada 3.2894/2963 daripada 3.2826/2879 pada Isnin dan turun berbanding baht Thailand kepada 12.9365/9676 daripada 12.9231/9466.
Ringgit rendah berbanding peso Filipina kepada 7.62/7.64 daripada 7.60/7.62 dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 259.9/260.6 daripada 259.4/259.9.