Ringgit lonjak tinggi hari kedua, lepasi paras 4.20 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit lonjak tinggi hari kedua, lepasi paras 4.20 berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Mata wang tempatan mempamerkan prestasi amat cemerlang apabila mencatat lonjakan ketara melebihi 1.0 peratus dua hari berturut-turut sejak Jumaat untuk berada pada paras 4.19 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Setakat tengahari, ringgit berada pada paras 4.1970 berbanding dolar AS. meningkat 1.43 peratus daripada penutup Jumaat Prestasi menggalakkan itu menyaksikan mata wang tempatan telah mengukuh lebih 6.0 peratus sejak awal tahun dan 2.71 peratus sejak 1 Mei lalu berbanding dolar AS.

Kekuatan ringgit turut ketara berbanding mata wang utama dan serantau lain. Setakat tengahari, ringgit mengukuh 1.18 peratus berbanding dolar Singapura; 1.55 peratus berbanding pound British; 1.40 peratus berbanding euro; 1.17 peratus berbanding baht Thailand; 1.42 peratus berbanding rupiah Indonesia; 1.51 peratus berbanding yuan China; 1.29 peratus berbanding yen Jepun; 0.36 peratus berbanding won Korea; 1.97 peratus berbanding dong Vietnam dan 1.31 peratus berbanding peso Filipina.

Walaupun prestasi itu memberi petunjuk positif, persoalan utama kini ialah sejauh mana dan untuk berapa lama momentum ini dapat dikekalkan, khususnya dalam konteks dinamik ekonomi global dan domestik yang tidak menentu serta kesannya terhadap ekonomi negara termasuk harga barangan, inflasi dan kuasa beli pengguna.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata lonjakan ringgit dipacu permintaan tinggi pelabur asing, terutama institusi, terhadap aset tempatan.

"Apabila pelabur asing membeli saham di Bursa Malaysia, mereka perlu menukar mata wang kepada ringgit, sekaligus meningkatkan permintaan terhadap mata wang tempatan. Terdapat hubungan positif antara pembelian aset Malaysia oleh pelabur asing dan pengukuhan ringgit," katanya kepada BH.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan kenaikan ini mungkin bersifat sementara kerana apabila ringgit mencapai paras keseimbangan, momentum kenaikan dijangka berkurangan.

Katanya, data minggu lalu menunjukkan pelabur asing menjadi pembeli bersih sepanjang minggu, satu petunjuk bahawa keyakinan terhadap pasaran tempatan semakin pulih.

"Namun, persoalan utama ialah: sampai bila trend ini akan berterusan? Jawapannya tidak mudah kerana ia bergantung kepada gabungan pelbagai faktor ekonomi dalaman dan luaran.

"Sekiranya Rizab Persekutuan AS (Fed) menurunkan kadar faedah dalam masa terdekat, ringgit berpotensi menjadi lebih menarik dalam kalangan pelabur," katanya.

Mengulas kesan langsung terhadap ekonomi domestik, Mohd Sedek berkata pengukuhan ringgit memberi impak positif seperti kos import yang lebih rendah, perbelanjaan perjalanan dan pendidikan ke luar negara menjadi lebih murah serta berpotensi mengurangkan tekanan subsidi bahan api.

Namun begitu, beliau turut mengingatkan bahawa ringgit yang lebih kukuh boleh memberi kesan negatif kepada sektor eksport negara.

"Barangan eksport akan menjadi lebih mahal di pasaran antarabangsa dan mengurangkan daya saing, sekali gus memperlahankan pertumbuhan eksport.

"Namun, bagi pasaran modal, aliran masuk dana asing ke dalam pasaran ekuiti dan bon dijangka meningkat. Kerajaan juga boleh menikmati manfaat fiskal seperti kos perkhidmatan hutang yang lebih rendah dan pengurangan beban subsidi," katanya.

Namun begitu, beliau menegaskan perlunya keseimbangan untuk mengekalkan daya saing sektor eksport negara.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, turut berpandangan bahawa pengukuhan ringgit berbanding dolar AS boleh menjejaskan sektor eksport apabila nilai tukaran kembali ke ringgit.

Namun katanya, dari sudut import, ringgit yang kukuh dapat meningkatkan kuasa beli rakyat untuk mendapatkan barangan dari luar negara dengan harga lebih murah.

Mengulas punca kejatuhan dolar AS, beliau berkata ia banyak dipengaruhi oleh dasar tarif timbal balik yang dilihat boleh menjejaskan ekonomi negara itu.

"Fenomena nyahdolar atau 'dedollarisation' sudah pun mula berlaku dan dijangka berterusan pada masa akan datang. Ia menuntut penilaian semula terhadap status dolar AS sebagai mata wang 'safe haven', terutama dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini