Ringgit dijangka dalam momentum meningkat minggu depan



KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka meneruskan momentum meningkat minggu depan dengan dolar Amerika Syarikat (AS) mungkin lemah, disokong sentimen pasaran kembali lebih baik selepas Rizab Persekutuan AS (Fed) memutuskan untuk menangguhkan langkah mengetatkan dasar monetarinya.

Ketua Strategi Mata Wang Global FXTM, Jameel Ahmad berkata memandangkan pendirian Fed diunjurkan memihak kepada kadar faedah rendah pada minggu lalu, ringgit mungkin mula bergerak ke paras psikologi 4.00.

“Ringgit telah didorong oleh kelemahan dolar susulan tumpuan terhadap keputusan kadar faedah rendah oleh Fed semasa mesyuarat dasar monetarinya minggu ini apabila ia mengenepikan jangkaan kenaikan kadar faedah AS tahun ini.

“Harga minyak mentah, yang merekodkan paras tertinggi baharu setakat ini bagi 2019, turut boleh menyokong ringgit,” katanya kepada Bernama.

Jameel berkata kalendar ekonomi Malaysia juga lengang minggu depan, sekali gus perhatian pastinya terarah kepada faktor luaran yang akan mempengaruhi prestasi mata wang tempatan.

Kenaikan mata wang negara pesat membangun, termasuk ringgit bagaimanapun boleh dihadkan oleh perubahan situasi dalam rundingan perdagangan AS-China yang masih berterusan, kelembapan pertumbuhan dunia serta ketidaktentuan Brexit yang berlanjutan, yang semua ini masih dijangka boleh menentukan sentimen pasaran pesat membangun minggu depan.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan meningkat memandangkan dolar AS secara amnya lemah, ekoran pendirian Fed yang cenderung kepada kadar faedah rendah.

Keputusan Fed untuk menangguhkan kenaikan kadar faedah tahun ini telah meningkatkan lagi mata wang negara Asia pesat membangun, termasuk ringgit.

Bagi minggu yang baru berakhir, Hong Leong Bank Bhd dalam satu nota berkata ringgit mengukuh kira-kira 0.71 peratus minggu ke minggu berbanding dolar AS yang lemah, namun ditutup bercampur-campur berbanding mata wang negara G10.

“Dolar AS kini cenderung kepada penyusutan selepas turun melepasi paras 4.0900 namun kekal disokong dengan berada di atas paras 4.0500.

“Sekiranya ia bergerak ke bawah paras ini, kemungkinan dolar AS akan jatuh ke paras 4.0300 namun, jika sebaliknya, mata wang negara maju itu boleh meningkat kepada 4.1030 pada minggu-mingu akan datang,” menurut Hong Leong Bank.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, ringgit meningkat kepada 4.0600/0650 daripada 4.0890/0940 berbanding dolar AS.

Unit tempatan turut diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain, kecuali yen Jepun.

Ringgit kukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0047/0096 daripada 3.0197/0245 minggu lepas serta naik berbanding euro kepada 4.5882/5959 daripada 4.6287/6360.

Mata wang tempatan stabil berbanding pound Britain kepada 5.3178/3260 daripada 5.4220/4307 namun lemah berbanding yen Jepun kepada 3.6735/6784 daripada 3.6623/6671 minggu lalu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini