Ringgit mengukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit mengukuh



KUALA LUMPUR: Ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal hari ini berikutan berita lebihan dagangan yang lebih tinggi daripada jangkaan pada Februari 2019.

Pada 9.06 pagi, unit tempatan didagangkan pada 4.0800/0850 berbanding dolar AS daripada 4.0810/0840 penutup semalam.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri MITI) semalam mengumumkan bahawa Malaysia merekodkan lebihan dagangan RM11.06 bilion pada Februari 2019, meningkat 22.7 peratus tahun ke tahun berbanding Februari 2018.

Peniaga berkata, walaupun eksport bagi bulan itu merosot 5.3 peratus tahun ke tahun disebabkan aktiviti perindustrian yang lemah semasa perayaan Tahun Baru Cina, import juga mencatatkan penurunan yang mengejutkan sebanyak 9.4 peratus.

"Bagaimanapun, pengukuhan ringgit dihadkan oleh penurunan harga minyak," katanya.

Penanda aras antarabangsa Brent jatuh 23 sen kepada AS$69.17 satu tong manakala West Texas Intermediate (WTI) merosot dua sen kepada AS$62.08 satu tong.

Sementara itu, ringgit juga didagangkan lebih kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.0115/0172 daripada 3.0145/0174 dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.6517/6565 daripada 3.6624/6661.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3370/3444 daripada 5.3686/3741 dan meningkat berbanding euro kepada 4.5782/5858 daripada 4.5809/5859. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini