Hubungan AS-China pulih, ringgit teruskan pengukuhan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Hubungan AS-China pulih, ringgit teruskan pengukuhan


KUALA LUMPUR: Ringgit terus menyaksikan pengukuhan selari prestasi mata wang Asia yang lain, susulan hubungan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang positif, menjadikannya mata wang serantau terbaik ketika ini.

United Overseas Bank (UOB) dalam nota makro risikan pasaran dan ekonomi globalnya berkata, ringgit meningkat 0.9 peratus berbanding dolar AS kepada paras tertinggi dalam tempoh 18 bulan pada RM4.05.

“Kami jangkakan ringgit masih mempunyai ruang untuk bergerak lebih jauh dalam jangka masa terdekat selepas penyusutan prestasi tahun lalu.

“Aliran dana asing kembali ke pasaran bon Malaysia pada November-Disember 2019, yang membawa masuk dana pada kedudukan tertinggi dalam tempoh enam tahun kepda RM19 bilion. Lebihan akaun semasa dijangka meningkat kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019 berbanding 2.1 peratus pada 2018,” katanya.

Ia berkata, aliran pelaburan langsung asing kasar dijangka mencecah RM120 bilion kepada RM130 bilion bagi 2019 manakala anggaran semasa mata wang tempatan berbanding nilai saksama dolar ialah 3.90.

“Pemangkin utama penarafan semula pasaran Malaysia dan mata wang tempatan termasuklah penggantian politik yang jelas, hasil positif daripada kajian FTSE Russell pada Mac 2020, dan peningkatan ekonomi jika perbelanjaan kerajaan pulih dan pelaburan direalisasikan dengan cepat,” katanya.

Bagi ekonomi, bank itu menyatakan bahawa ekonomi tempatan kekal optimis, dengan tanda-tanda pemulihan sudah dapat dilihat walaupun wujud kebimbangan terhadap momentum pertumbuhan yang semakin merosot dan risiko penurunan yang berterusan.

“Indeks aktiviti pembuatan (PMI) bertambah baik pada November-Disember 2019 susulan pengumuman perjanjian fasa satu AS-China yang menurunkan tarif ke atas barangan China bernilai AS$110 bilion ke AS dan menghalangi peningkatan tarif.

“Petunjuk PMI meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh 15 bulan kepada 50.0 pada Disember di tengah-tengah peningkatan pengeluaran dan pesanan baharu,” katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini