Harga minyak meningkat, permintaan semakin pulih



SINGAPURA: Harga minyak meningkat hari ini, dipacu langkah pengurangan pengeluaran yang meredakan kebimbangan mengenai virus.

Bagaimanapun, kenaikan harga komoditi itu dihadkan selepas Ketua Rizab Persekutuan (Fed) memberi amaran mengenai kesan wabak itu ke atas ekonomi.

Penanda aras Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate melonjak 1.2 peratus kepada AS$25.60 setong sementara minyak mentah Brent naik 0.5 peratus kepada AS$29.33 setong, selepas kedua-dua kontrak susut pada hari sebelumnya.

Pasaran minyak mentah pada April berdepan situasi yang disifatkan kejam selepas permintaan menjunam disebabkan pelaksanaan perintah berkurung bagi menangani virus, dengan WTI jatuh di bawah sifar buat pertama kali dalam sejarah.

Bagaimanapun, harga minyak mulai pulih bulan ini selepas ekonomi utama dunia mula melonggarkan sekatan susulan jangkitan dan angka kematian berkurangan, sekali gus menimbulkan harapan bahawa wabak terburuk telah berlalu.

Semalam, data dari Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA) menunjukkan paras inventori ekonomi terbesar dunia susut 745,000 tong, berbanding jangkaan peningkatan sebanyak empat juta tong.

Ini menunjukkan bahawa pengurangan pengeluaran secara besar-besaran membantu mengurangkan kekurangan pasaran, kata penganalisis.

Pengeluar utama yang terdiri daripada kartel eksport Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya, mula mengurangkan pengeluaran sebanyak hampir 10 juta tong sehari pada bulan ini untuk memacu harga.

Namun, angka AS juga menunjukkan pemprosesan yang lemah oleh kilang, mencerminkan permintaan pengguna belum benar-benar meningkat.

Sementara itu, OPEC dalam laporan bulanannya berkata, keseimbangan semula pasaran sedang berlaku dan akan dipercepat.

Namun, kenaikan terhad selepas amaran Pengerusi Fed, Jerome Powell mengenai pemulihan ekonomi yang perlahan disebabkan wabak itu yang turut mendorong harga saham lebih rendah.

Beliau berkata, prospek ekonomi 'sangat tidak menentu' dan Washington mungkin perlu berbelanja lebih daripada yang telah diluluskan penggubal undang-undang.

Penganalisis bagaimanapun yakin harga minyak akan terus pulih.

"Ketika ekonomi kembali beroperasi walaupun pada tahap sebegini dan OPEC menunjukkan komitmen lebih penting dalam disiplin pembekalan, harga minyak akan menunjukkan momentum kenaikan lebih lanjut," kata Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini