Ringgit dijangka kukuh kepada paras 4.0 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka kukuh kepada paras 4.0


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka mengukuh kepada paras 4.0 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan disebabkan harga minyak yang semakin baik.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Pelaburan Hermana Capital Bhd, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata sekiranya harga minyak terus meningkat, bukan sahaja ringgit malah mata wang lain akan turut mendapat lonjakan berikutan kedudukan minyak sebagai salah satu daripada sumber utama pendapatan negara.
Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) juga menjangkakan ringgit mungkin mengukuh sedikit berbanding dolar AS dengan kemungkinan pertikaian dagangan (AS-China) yang semakin reda dapat memulihkan selera pelabur terhadap risiko.
"Secara teknikal, AS$-RM akan terus menunjukkan kelemahan selepas gagal melepasi paras 4.0515 minggu ini.
"Berikutan itu, kami kekal berpendapat bahawa sebarang penyusutan berbanding kenaikan berturut-turut sebelum ini, masih ada dan berpotensi susut ke paras 4.0047 selepas ini," katanya dalam satu kenyataan.
HLIB juga menjangkakan dolar AS berkemungkinan susut minggu depan susulan perang perdagangan yang semakin lemah, manakala kekurangan data utama AS mungkin tidak mencukupi bagi menarik minat belian.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS kepada 4.0500/0530 berbanding 4.0380/0420.
Ringgit bagaimanapun diniagakan tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9620/9651 daripada 2.9672/9712 Jumaat lepas dan menokok berbanding yen kepada 3.6006/6043 daripada 3.6497/6536 sebelumnya.
Ia meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3189/3236 daripada 5.3419/3476 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.7122/7161 daripada 4.7277/7340.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini