Ringgit berbanding dolar AS tidak berubah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

 


Ringgit berbanding dolar AS tidak berubah



KUALA LUMPUR: Ringgit terus bergerak mendatar berikutan kemunculan semula ketidaktentuan berhubung pakej rangsangan di Amerika Syarikat yang sekali gus menyaksikan peningkatan dolar AS.

Pada pukul 9.01 pagi, mata wang tempatan disebut harga pada 4.1290/1370 berbanding dolar AS daripada 4.1270/1320 ketika ditutup semalam.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata aliran menurun ringgit juga adalah disebabkan oleh peningkatan mendadak mata wang berkenaan pada Isnin.

"Data keluaran dalam negara kasar (KDNK) untuk suku ketiga yang bakal diumumkan esok oleh Bank Negara Malaysia akan turut diperhatikan kerana konsensus mengarah kepada penguncupan yang lebih kecil berikutan pemulihan aktiviti ekonomi pada suku September," katanya.

"Walaupun bertambah baik, masih belum dapat dilihat sama ada momentum begitu akan berterusan sehingga ke suku keempat memandangkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) masih dikuatkuasakan di banyak negeri," kata beliau.

"Sementara itu, harga minyak telah menyusut semalaman. Tetapi, aspek yang lebih membimbangkan ialah pada situasi hujung tahun yang mana pembeli dijangka mogok dalam pasaran bon global kerana perolehan AS telah bersedia untuk bergerak tinggi," kata Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes.

"Sehubungan itu, ini akan menyebabkan dolar AS mengukuh yang disifatkan tidak begitu menyebelahi ringgit," jelas beliau.

Bagaimanapun Innes berkata, masih ada lagi keyakinan untuk harga minyak sawit kerana komoditi itu terus melonjak, dipacu oleh permintaan yang kian meningkat dan ini sedikit sebanyak membantu mata wang tempatan.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama yang lain.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0601/0665 daripada 3.0602/0651 ketika ditutup pada Rabu dan lebih tinggi berbanding euro pada 4.8623/8721 daripada 4.8670/8741.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding pound Britain pada 5.4577/4695 daripada 5.4724/4807 tetapi lebih rendah berbanding yen pada 3.9186/9269 daripada 3.9130/9196 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini