Ringgit susut hari ketiga berturut-turut - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit susut hari ketiga berturut-turut


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan penurunan untuk ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bagi hari ketiga berturut-turut hari ini susulan kelemahan harga minyak mentah dan ketidaktentuan senario politik tempatan.  

Peniaga berkata, dolar AS mengukuh dengan didorong oleh peningkatan keluk hasil dan ketidaktentuan mengenai rangsangan fiskal di AS.   

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.1280/1330 berbanding dolar AS daripada 4.1270/1320 ketika ditutup pada Rabu.  

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata dolar AS berbanding ringgit juga bergerak dalam jajaran kecil, yang menunjukkan kekurangan pemangkin.  "Dari segi data, beberapa minggu lalu pasangan mata wang ini mencatatkan pergerakan yang agak baik, dengan kemenangan Joe Biden dalam pilihan raya presiden AS baru-baru ini telah menambah baik sentimen pasaran," katanya. Mengenai pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga esok, beliau berkata unjuran konsensus pada penguncupan 4.6 peratus, berbanding kemerosotan lebih teruk 17.1 peratus pada suku kedua, sememangnya telah dijangkakan.  

Beliau bagaimanapun berkata, langkah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan baru-baru ini di kebanyakan negeri di Malaysia menimbulkan kebimbangan terhadap ketahanan pemulihan ekonomi.  "Pada tahap tertentu, perbahasan di Dewan Rakyat yang sedang diadakan dan seterusnya mengundi bagi Belanjawan 2021 bulan ini akan dipantau rapat oleh pasaran tukaran asing untuk mengukur kekuatan pemulihan ekonomi Malaysia," katanya.  

Ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding kumpulan mata wang utama.  Unit tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4411/4498 daripada 5.4724/4807 ketika ditutup semalam dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0603/0647 daripada 3.0602/0651.  Ringgit turun berbanding euro kepada 4.8739/8815 daripada 4.8670/8741 semalam serta lemah berbanding yen kepada 3.9161/9220 daripada 3.9130/9196.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini