Ringgit ditutup tinggi, RM4.049 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup tinggi, RM4.049 berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi untuk hari ketiga berturut-turut, berikutan risiko politik domestik yang berkurangan selepas belanjawan diluluskan, harga minyak yang lebih tinggi dan keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) untuk mengekalkan kadar faedah pada 0.25 peratus.

Pada 6 petang, ringgit ditutup pada 4.0320/0370 berbanding dolar AS, daripada 4.0490/0540 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes, berkata ringgit belum mencatatkan prestasi yang terbaik menjelang 2021, apabila harga komoditi perlu terus meningkat di seluruh dunia.

Katanya, Perbendaharaan AS telah mengeluarkan laporan 'manipulasi mata wang', yang memberi tumpuan kepada tempoh antara Julai 2019 dan Jun 2020.

"Ia turut menempatkan 10 negara dalam Senarai Pemantauan, yang menyenaraikan Malaysia dan negara lain seperti Jepun, Korea, Jerman, Itali dan Singapura.

"Bagaimanapun, ia akan diabaikan, berdasarkan pentadbiran Biden yang dijangka tidak mengambil tindakan agresif," kata Innes.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0410/0460 daripada 3.0469/0518 pada Rabu, naik berbanding euro kepada 4.9315/9389 daripada 4.9418/9487 semalam, dan menokok berbanding yen kepada 3.9111/9171 daripada 3.9197/9253 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit turun berbanding pound kepada 5.4771/4851 daripada 5.4722/4806 ketika ditutup pada Rabu. -- Bernama

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini