Ringgit dibuka rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

 


Ringgit dibuka rendah



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini, melepaskan keuntungan yang dicatatkan sebelum ini, diheret turun oleh kekurangan minat belian serta harga minyak mentah yang lemah, kata penganalisis.

Pada pukul 9.03 pagi, mata wang tempatan menyusut kepada 4.0450/0550 daripada dolar AS berbanding 4.0420/0460 ketika ditutup pada petang Rabu.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes, pula menjangkakan terdapatnya aliran keluar asing atau urus niaga yang terhad untuk aset Malaysia dalam kalangan bank luar pesisir menjelang cuti sambutan Tahun Baharu Cina yang bermula esok.

"Jadi, pasaran tukaran asing mungkin agak lengang hari ini memandangkan para peniaga mula menjual pegangan masing-masing menjelang cuti perayaan," kata beliau kepada Bernama.

Pasaran tukaran asing akan ditutup esok dan urus niaga dibuka semula pada Isnin.

Sementara itu, CGS CIMB dalam nota penyelidikannya berkata, pengumuman Bank Negara Malaysia mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk suku keempat 2020 pada tengah hari ini turut mempengaruhi sentimen pasaran.

"Pakar ekonomi mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia menguncup sehingga 5.7 peratus pada 2020 kerana kemelesetan akibat COVID-19 akan terbukti menjadi krisis ekonomi paling dahsyat di dunia sejak "Great Depression" dalam tahun 1930-an," katanya.

Mata wang tempatan diniagakan rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0475/0553 daripada penutupan petang Rabu 3.0460/0494 dan lemah berbanding euro kepada 4.9001/9130 daripada 4.8981/9042 sebelumnya.
Ringgit turut menyusut berbanding yen kepada 3.8671/8770 daripada 3.8565/8618 dan rendah berbanding pound kepada 5.5914/6064 daripada 5.5913/5980.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini