Ringgit kekal momentum pengukuhan sepanjang minggu ini - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit kekal momentum pengukuhan sepanjang minggu ini



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini meskipun dibuka rendah pagi ini, berikutan kelemahan berterusan unit negara maju itu, kata penganalisis.
Sewaktu ditutup, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0405/0445 berbanding dolar AS daripada 4.0420/0460 sewaktu ditutup semalam.

Penganalisis berkata, dolar AS merosot kepada paras rendah dalam tempoh dua minggu susulan data inflasi AS yang lebih rendah daripada jangkaan.

Katanya, penyusutan hasil di pasaran bon AS turut memberikan tekanan kepada dolar AS.
Sementara itu, Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes, memberitahu Bernama, walaupun keadaan agak lengang menjelang Tahun Baru Cina, harga minyak mentah Brent kekal melepasi AS$61 setong, sekali gus amat menyokong ringgit.

Sebaliknya, beliau berkata, kenyataan kadar faedah rendah oleh Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome Powell yang menggesa kongres itu untuk menawarkan lebih banyak rangsangan, turut tidak menyokong sentimen dolar AS.

"Sementara itu, jangkaan penurunan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia dilihat hanya memberikan impak kecil kepada ringgit berikutan pasaran dilihat terus optimis tidak lama lagi susulan pelancaran program vaksin pada bulan ini," katanya.

Unit tempatan diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain hari ini, kecuali kepada pound.
Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0499/0531 daripada 3.0460/0494 pada Rabu, dan susut berbanding euro kepada 4.9003/9068 daripada 4.8981/9042 sebelum ini.

Ringgit turut rendah berbanding yen kepada 3.8602/8644 daripada 3.8565/8618 semalam, namun meningkat berbanding pound kepada 5.5896/5964 daripada 5.5913/5980 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini