Ringgit dijangka susut kepada RM4.22 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka susut kepada RM4.22 berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka terus lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan jangkaan penyusutan paras RM4.22 pada akhir suku kedua 2021 dan RM4.30 pada suku pertama 2022 susulan pengukuhan dolar AS.

Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan dan Ketua Penyelidik Pasaran RHB Banking Group, Dr Sailesh Kumar Jha, berkata pihaknya menjangka dolar AS terus kukuh ekoran unjuran pertumbuhan ekonomi AS yang bertambah baik.

Beliau berkata, faktor penggerak dalam pasaran sudah berubah sejak beberapa bulan lalu, yang mana kadar inflasi global meningkat dan kadar faedah jangka panjang global juga mencatatkan peningkatan.
Katanya, peningkatan hasil bon 10 tahun AS dijangka berterusan dengan inflasi bagi Mac, April dan Mei di AS dan kebanyakan negara di dunia dijangka meningkat.

"Suku kedua (2021) akan menyaksikan pelarasan pasaran selepas lebih sedekad tempoh kadar faedah jangka panjang rendah dan ia kini meningkat.

"Keadaan ini akan mendorong aliran keluar modal dari pasaran baharu muncul, yang mana akan memberi tekanan kepada mata wang. Kami jangka renminbi mencatatkan penyusutan terbesar berbanding dolar AS dalam kalangan mata wang Asia," katanya pada taklimat media secara maya mengenai 'Ekonomi Global dan Strategi Pasaran RHB Suku Kedua 2021' hari ini.

Ringgit berada pada 4.1350/1410 berbanding dolar AS ketika dibuka dagangan pagi tadi.
Dari perspektif pelaburan, Sailesh berkata, pengukuhan dolar AS akan memberi impak positif kepada eksport pasaran Asia terutama membabitkan produk berkaitan elektrik dan elektronik (E&E).

Justeru, beliau berkata, sektor E&E dilihat sebagai sektor menarik untuk pelaburan memandangkan permintaan yang tinggi terhadap produk semikonduktor sejajar dengan pemulihan ekonomi global.

Katanya, jangkaan penyusutan mata wang di Asia berbanding dolar AS akan membantu melonjakkan lagi eksport semikonduktor di rantau itu terutama dari Korea, Taiwan dan tidak ketinggalan Malaysia.
"Permintaan yang tinggi terhadap produk berkaitan E&E akan melonjakkan pendapatan syarikat berkaitan. Malaysia adalah antara negara yang bakal meraih manfaat daripada peningkatan permintaan terhadap E&E memandangkan 45 peratus daripada eksport negara ini terdiri daripada E&E," katanya.
Sailesh berkata, pihaknya menjangkakan pemacu utama pertumbuhan di Asia akan didorong oleh AS dan bukan China.

Beliau berkata, berdasar analisis, pihaknya mendapati, beberapa dekad lalu, impak China terhadap Asia tidak termasuk Jepun adalah rendah berbanding AS.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini