Ringgit mengukuh pada awal dagangan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit mengukuh pada awal dagangan




KUALA LUMPUR: Ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan Selasa susulan minat belian terhadapnya ketika dolar AS sebaliknya terus lemah akibat tindakan penjualannya oleh peniaga.

Ini berikutan penyusutan dolar AS ke paras hampir terendah dalam tempoh dua minggu berbanding mata wang lain dan seiring dengan penurunan hasil Perbendaharaan walaupun negara maju itu menyaksikan pemulihan ekonomi yang memberangsangkan.

Indeks dolar AS mencecah paras terendah sejak 25 Mac lepas dan terus susut pada awal dagangan Asia hari ini selepas mencatat penurunan sebanyak 0.4 peratus pada Isnin.

Pada 9.04 pagi ini, unit tempatan itu di paras 4.1330/1370 berbanding dolar AS daripada 4.1400/1450 pada akhir dagangan Isnin.

Mengulas prestasi ringgit, Ketua Strategis Pasaran Global Axi, Stephen Innes berkata kelemahan dolar AS itu sebaliknya membantu ringgit untuk masa ini, namun penurunan harga minyak juga menjadi kebimbangan para peniaga.

Malah, pergerakan harga minyak itu akan mempengaruhi ringgit memandangkan kedudukan Malaysia sebagai antara negara pengeksport minyak.

"Lebih kritikal lagi untuk ringgit adalah bagaimana reaksi pasaran terhadap normalisasi Rizab Persekutuan AS (FED) dan hasil bon AS.

"Oleh kerana hasil Perbendaharaan 10 tahun AS menyusut pada Isnin akibat data ekonomi yang positif, ini akan menjadi faktor yang boleh mempengaruhi prestasi ringgit," katanya.

Bagi proses normalisasi itu, pihak Fed berhasrat mengalihkan kadar dana Persekutuan ke dalam jajaran yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan dengan melaras kadar faedah bayaran ke atas baki rizab.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0832/0864 daripada 3.0776/0825 dan lemah berbanding yen kepada 3.7481/7520 daripada 3.7422/7477.

Berbanding pound Britain, ringgit juga susut kepada 5.7469/7520 daripada 5.7360/7437 dan rendah berbanding euro kepada 4.8827/8891 daripada 4.8604/8671.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini