Ringgit dibuka lebih tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka lebih tinggi



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, didorong oleh peningkatan harga minyak.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.1810/1840 berbanding dolar AS daripada 4.1815/1830 pada penutupan Khamis.

Sehingga kini, minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras antarabangsa, naik 0.47 peratus kepada AS$74.42 setong.

Bagaimanapun, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata tekanan luaran terhadap mata wang tempatan, termasuk gelombang jangkitan terkini di Asia, dijangka menjejaskan permintaan minyak hari ini.

"Justeru, harga minyak yang lebih rendah mungkin akan diikuti oleh kelemahan ringgit berikutan hubungan yang kukuh antara minyak mentah Brent dan unit tempatan," katanya kepada Bernama.

Malaysia melaporkan 8,868 kes baharu COVID-19 pada Khamis.

Bagaimanapun, Adam menjangkakan ringgit akan diniagakan antara RM4.17 dan RM4.18 berbanding dolar AS hari ini.

Sewaktu dibuka, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan merosot berbanding yen Jepun kepada 3.8051/8081 daripada 3.8045/8062 pada penutupan Khamis, turun berbanding euro kepada 4.9503/9539 daripada 4.9480/9497 dan susut berbanding pound Britain kepada 5.7639/7681 daripada 5.7592/7612.

Bagaimanapun, ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0893/0919 daripada 3.0928/0942 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini