Ringgit dibuka sederhana tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers
JustForex

Ringgit dibuka sederhana tinggi


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka agak tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini seiring dengan kenaikan harga minyak mentah yang bergerak memasuki zon positif.

Namun begitu, mood kebimbangan masih lagi membayangi sentimen pelabur selepas Arab Saudi menurunkan harga kontrak minyak mentah untuk Asia selain daripada pengumuman Rizab Persekutuan (Fed) AS tidak lama lagi berkenaan pengurangan pembelian aset.

Dalam pada itu, Bank Negara Malaysia (BNM) pula dijadualkan mengadakan mesyuarat dasar monetarinya pada Khamis ini.

Pada pukul 9.03 pagi, nilai ringgit meningkat kepada 4.1445/1485 daripada 4.1465/1490 pada penutupan Isnin.

Menurut AmBank Research dalam nota penyelidikannya hari ini, ia percaya bahawa pasaran kewangan mampu menyerap langkah pengurangan Fed tanpa banyak kemudahruapan.

Dalam pada itu, firma penyelidikan itu menyuarakan kebimbangan akan prospek tempoh pertengahan ringgit sambil menyatakan unit tempatan itu dijangka mengalami sedikit tekanan menurun didorong antara lain penurunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021 berikutan peningkatan kes COVID-19, rancangan kerajaan untuk meluaskan defisit belanjawan dan situasi semasa politik sementara menantikan pilihan raya ke-15.

Pada paras pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Ia menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0895/0927 daripada 3.0875/0896 semalam, lebih rendah berbanding yen kepada 3.7756/7796 daripada 3.7730/7753 dan lega berbanding euro kepada 4.9241/9282 daripada 4.9186/9215.

Bagaimanapun, ringgit lebih tinggi berbanding pound Britain kepada 5.7397/7446 berbanding 5.7404/7435 pada penutupan urus niaga Isnin.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini