Penurunan harga minyak jejas prestasi ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Penurunan harga minyak jejas prestasi ringgit


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, seiring dengan penyusutan prestasi harga minyak mentah Brent selepas negara pengeksport utama Arab Saudi bertindak menurunkan harga kontrak bahan itu di Asia, semalam.

Langkah itu dikatakan bertujuan memaparkan bekalan pasaran global yang mencukupi namun pada masa sama menimbulkan kebimbangan mengenai prospek permintaannya di masa depan.

Pada 6 petang, ringgit di paras 4.1465/1490 berbanding dolar AS daripada 4.1445/1475 pada akhir urus niaga pada Jumaat lalu.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata syarikat minyak milik Arab Saudi iaitu Saudi Aramco mengeluarkan kenyataan kepada pelanggannya pada Ahad dengan memaklumkan tindakan mengurangkan harga jualan rasmi Oktober bagi minyak mentah semua gred ke Asia, rantau pembeli terbesarnya dengan sekurang-kurangnya AS$1 setong.

"Perlu diingatkan bahawa minyak mentah Brent sememangnya boleh mempengaruhi atau memberi kesan terhadap prestasi ringgit," katanya kepada Bernama.

Setakat petang ini, harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras global, susut 0.52 peratus kepada AS$72.23 setong.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit meningkat sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0875/0896 daripada 3.0876/0903 pada akhir urus niaga Jumaat lalu dan mengukuh berbanding euro kepada 4.9186/9215 daripada 4.9195/9231 sebelum ini.

Unit tempatan itu bagaimanapun rendah berbanding yen Jepun kepada 3.7730/7753 daripada 3.7705/7735 pada Jumaat dan turun berbanding pound Britain kepada 5.7404/7435 daripada 5.7352/7393 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini