Ringgit terus susut, pelabur pilih mata wang selamat - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus susut, pelabur pilih mata wang selamat



KUALA LUMPUR: Ringgit terus mengalami penyusutan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika dibuka pada Rabu, berikutan pelabur mengalihkan tumpuan kepada mata wang selamat seperti yen Jepun, kata peniaga.

Beliau berkata, ini susulan data inflasi AS bagi Ogos 2021 mencatatkan kadar yang lebih perlahan berbanding jangkaan.

Pada 9.01 pagi, mata wang tempatan turun kepada 4.1620/1670 berbanding dolar AS daripada 4.1615/1640 ketika ditutup pada Selasa.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata Indeks Harga Pengguna (IHP) AS meningkat 5.3 peratus pada Ogos 2021, menunjukkan inflasi yang lebih rendah berbanding jangkaan di dalam ekonomi terbesar dunia itu.

"Ini mungkin menyebabkan Rizab Persekutuan (Fed) AS mengambil masa sedikit sebelum memulakan langkah memperlahankan kadar pembelian aset berskala besar, yang boleh mendorong kenaikan dolar AS," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, dari segi teknikal, pergerakan meningkat dolar AS-ringgit pada dua hari lalu boleh menandakan permulaan pergerakan lemah, yang dijangka membawa pasangan mata wang itu kepada paras 4.2400 dalam beberapa hari.

"Bagaimanapun, pelabur akan menumpukan sebarang perincian mengenai dasar monetari dari Fed AS kerana ia boleh mengubah sepenuhnya senario semasa," katanya.

Semasa dagangan dibuka, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 3.7985/8034 daripada 3.7811/7834 pada penutupan Selasa namun meningkat kepada 3.0974/1014 berbanding dolar Singapura daripada 3.0987/1008.

Unit tempatan naik berbanding pound Britain kepada 5.7444/7513 daripada 5.7687/7721 dan tinggi berbanding euro kepada 4.9132/9191 daripada 4.9164/9193 pada penutupan Selasa.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini