Ringgit susut pada akhir dagangan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit susut pada akhir dagangan


KUALA LUMPUR: Pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal Selasa ternyata tidak bertahan lama apabila susut pada akhir urus niaga berikutan jangkaan bahawa pihak Rizab Persekutuan (Fed) AS akan mengurangkan pembelian aset yang menyebabkan minat pelabur beralih terhadap dolar, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, ringgit berada pada paras lebih rendah iaitu 4.1615/1640 berbanding dolar AS daripada 4.1490/1515 pada akhir urus niaga semalam.

Ramai penganalisis telah menyuarakan kebimbangan bahawa peningkatan data Indeks Harga Pengguna (IHP) di AS akan disusuli dengan langkah Fed mengurangkan pembelian aset.

Memetik kenyataan Goldman Sachs pada Isnin, Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata bank pelaburan itu menjangkakan terdapat 70 peratus kemungkinan untuk Fed mengumumkan proses pengurangan pembelian itu pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada November depan.

"Pelabur sudah menjangkakan mengenai kemungkinan proses itu dan ia hanya menyebabkan dolar AS terus mengukuh berbanding ringgit," katanya.

Dalam pada itu, ringgit juga susut berbanding kumpulan mata wang utama pada akhir urus niaga hari ini.

Ringgit rendah sedikit berbanding euro pada 4.9164/9193 daripada 4.8921/8950 semalam dan susut berbanding yen kepada 3.7811/7834 daripada 3.7681/7703 sebelum ini.

Unit tempatan itu juga turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0987/1008 daripada 3.0903/0926 semalam dan susut berbanding pound pada 5.7687/7721 daripada 5.7356/7390, sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini