Permintaan tinggi dorong harga minyak mentah cecah AS$84 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Permintaan tinggi dorong harga minyak mentah cecah AS$84


NEW YORK: Harga minyak dunia meningkat ke paras tertinggi baharu berikutan permintaan yang kukuh dan bekalan yang terhad mencetuskan kebimbangan inflasi dan menjejaskan kebanyakan pasaran saham global.

Kenaikan harga tenaga menyaksikan minyak West Texas Intermediate bagi penghantaran November didagangkan pada paras AS$80.52 setong pada Isnin, pertama kali melepasi AS$80 sejak Oktober 2014, sementara minyak Brent London melonjak ke paras tertinggi tiga tahun kepada AS$84.59.

Keputusan baru-baru ini oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan pengeluar utama lain untuk tidak meningkatkan pengeluaran telah memburukkan lagi situasi bekalan global.

"Kebimbangan masih jelas terlihat dalam pasaran," kata penganalisis OANDA, Craig Erlam kepada AFP.

"Krisis tenaga menjadi perhatian utama dalam beberapa bulan mendatang, sementara kebimbangan inflasi dan prospek dasar monetari yang lebih ketat adalah antara banyak halangan ekonomi," katanya.

Dengan masih ada banyak momentum di sebalik kenaikan minyak, Erlam berkata, adalah tidak mengejutkan untuk melihat minyak kembali dalam tiga angka akhir tahun ini.

Ketiga-tiga indeks utama Wall Street ditutup dengan kemerosotan, dengan S&P 500 susut 0.7 peratus.

Bursa Eropah bercampur-campur, Frankfurt ditutup tidak berubah sementara London dan Paris ditutup positif.

Di tempat lain, kebanyakan pasaran Asia meningkat dengan meneruskan peningkatan minggu lalu setelah penggubal undang-undang AS mengelakkan kegagalan hutang yang memeritkan.

Minyak juga dilonjakkan minggu lalu oleh harga gas asli yang memecah rekod, tetapi ia berkurangan selepas komen daripada Presiden Russia, Vladimir Putin baru-baru ini.

Gas melonjak minggu lalu berikutan peningkatan permintaan susulan pembukaan semula ekonomi menjelang puncak musim dingin hemisfera utara, mendorong beberapa pengguna beralih kepada minyak mentah.

Penganalisis Schwab menggelarkan ia sebagai 'ketidakseimbangan bekalan yang meriah' untuk minyak, menambah kepada kebimbangan inflasi dan ketidakpastian menjelang musim pendapatan AS.

"Saya rasa penarikan ini belum selesai," kata Sam Stovall dari CFRA Research.

"Saya fikir pelabur bimbang bahawa pendapatan suku ketiga mungkin tidak sekukuh yang diunjurkan pada awalnya.

Perhatian minggu ini akan tertumpu kepada data inflasi AS dan China, dengan kenaikan harga di seluruh dunia menjadi semakin bermasalah bagi kerajaan ketika ekonomi dibuka semula dan permintaan terhadap barangan kembali kerana bekalan kekal terhad.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini