Ringgit ditutup lebih tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup lebih tinggi


KUALA LUMPUR: Ringgit bergerak dalam jajaran ketat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika mengakhiri dagangan hari ini, selepas mata wang AS itu meraih momentum.

Pada jam 6 petang, ringgit lebih baik sedikit berbanding dolar AS kepada 4.1530/1555 daripada 4.1585/1605 pada penutup Jumaat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ia berlaku apabila gaji bukan ladang (NFP) di AS meningkat kepada 531,000 bagi Oktober, yang mana lebih tinggi berbanding anggaran konsensus.

Ia menunjukkan pasaran buruh benar-benar pulih dengan kadar pengangguran terus merosot kepada 4.6 peratus pada Oktober daripada 4.8 peratus sebelumnya.

Purata pendapatan setiap jam AS meningkat sebanyak 4.9 peratus pada Oktober selepas mencatatkan pertumbuhan 4.6 peratus dan 4.1 peratus masing-masing pada September dan Ogos, katanya.

"Dengan pengumuman minggu lalu oleh Rizab Persekutuan (Fed), ia mungkin bermakna normalisasi kadar faedah mungkin akan berlaku pada 2022, yang mana akan meningkatkan nilai dolar AS dalam tempoh terdekat," katanya.

Berhubung kadar pertukaran semasa, Mohd Afzanizam berkata, ringgit menghampiri paras sokongannya 4.149 berbanding dolar AS.

"Dalam aspek ini, ringgit mungkin berlegar sekitar 4.15 selepas pasaran menantikan pengumuman Keluaran dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga 2021 pada Jumaat ini," tambahnya.

Ketika ditutup, ringgit didagangkan lebih rendah berbanding mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding pound British kepada 5.5991/6024 daripada 5.5865/5892 ketika ditutup pada Jumaat dan lebih rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0765/0786 daripada 3.0729/0746.

Ia juga merosot berbanding euro kepada 4.8000/8029 daripada 4.7997/8020 dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.6606/6628 daripada 3.6536/6553 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini