Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit meningkat kembali untuk dibuka tinggi berbanding dolar AS pagi ini daripada penyusutan semalam di tengah-tengah kelemahan dolar AS berikutan sentimen yang lebih baik selepas kebimbangan terhadap inflasi semakin mereda.

Pada 9.05 pagi, mata wang tempatan berada pada paras 4.2060/2100 berbanding dolar AS daripada 4.2110/2140 pada penutupan urus niaga Rabu.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata indeks dolar AS (DXY) susut 0.43 peratus kepada 96.076 mata apabila data keyakinan pengguna AS adalah lebih baik daripada jangkaan, meningkat kepada 115.8 pada Disember berbanding anggaran 110.8 mata.

Kebimbangan mengenai inflasi juga berkurangan pada Disember selepas mencecah paras tinggi 13 tahun pada November.

Selain itu, kajian oleh para penyelidik di Scotland mencadangkan bahawa varian Omicron kurang menyebabkan risiko kemasukan ke hospital berbanding varian terdahulu, Delta.

"Terdapatnya mod risiko yang boleh memberi manfaat kepada ringgit. Justeru, ringgit mungkin menyaksikan beberapa sokongan hari ini," kata beliau.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan lemah berbanding mata wang utama yang lain.

Mata wang tempatan itu merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0892/0926 daripada 3.0832/0858 semalam dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.6167/6220 daripada 5.5964/6004.

Ringgit juga lemah berbanding euro kepada 4.7679/7725 daripada 4.7521/7555 dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.6840/6878 daripada 3.6835/6865 pada Rabu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini