Mata wang kripto mampu berkembang pesat - IMF - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Mata wang kripto mampu berkembang pesat - IMF


KUALA LUMPUR: Bahagian mata wang kripto dan aset kripto (stablecoin) berhubung dengan bekalan wang ketika ini adalah kecil, justeru impaknya terhadap sistem monetari dan kewangan pada masa ini adalah terhad tetapi penggunaannya mampu meningkat dengan cepat, kata Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Ia perlu dikawal selia dengan segera, kata IMF.

"Mata wang kripto menjadi aset pelaburan yang menarik termasuk bagi pelabur institusi manakala aset kripto berpotensi diterima di peringkat global, jika ia dikeluarkan oleh firma teknologi besar dengan pangkalan pengguna yang besar yang membabitkan pelbagai negara," kata Pengarah dan Kaunselor Kewangan, Jabatan Pasaran Modal dan Monetari IMF, Tobias Adrian.

Mungkin terdapat implikasi yang ketara kepada sistem monetari antarabangsa jika penggunaan meluas mata wang kripto dan aset kripto benar-benar berlaku, katanya pada MyFintech Week 2022 anjuran Bank Negara Malaysia (BNM), hari ini.

Beliau berkata, penggantian mata wang secara meluas berpotensi menjejaskan kawalan kerajaan terhadap dasar monetari dan memberi kesan kepada keadaan kewangan domestik.

Selain itu, langkah aliran modal boleh dielakkan dengan lebih mudah dan rejim kadar pertukaran mata wang yang bebas mungkin lebih sukar untuk dikekalkan.

"Ketidaktentuan aliran modal boleh meningkat, begitu juga kedudukan aset asing kasar yang berpotensi mencetuskan masalah imbangan pembayaran.

"Terdapat risiko dalam sistem pembayaran dan jurang digital di peringkat global, berpunca daripada perbezaan akses negara kepada teknologi pembayaran baharu dan keupayaan mereka untuk memanfaatkan dan mengawal selianya," katanya.

Adrian berkata, untuk memastikan sistem monetari antarabangsa kekal stabil dan cekap, apa yang penting wang digital harus dikawal, direka bentuk dan disediakan supaya setiap negara mengekalkan kawalan ke atas dasar monetari, keadaan kewangan, keterbukaan akaun modal dan rejim pertukaran asing.

Sistem pembayaran mesti menjadi lebih bersepadu, tidak berpecah-pecah dan mesti berfungsi untuk semua negara bagi mengelakkan jurang digital, tambahnya.

"Kami memerlukan rangka kerja undang-undang yang jelas untuk menentukan sama ada bentuk wang baharu ini adalah deposit, sekuriti atau komoditi. Peraturan yang jelas mesti dirangka supaya bentuk wang ini menangani sepenuhnya risiko kepada kestabilan, integriti kewangan, perlindungan pengguna dan persaingan pasaran," katanya. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini