Ringgit terus merosot berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus merosot berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit terus merosot berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semasa ditutup hari ini berikutan mata wang AS itu, mata wang lindung nilai, mengukuh dalam persekitaran risiko geopolitik yang meningkat di Eropah Timur manakala pelabur menunggu keputusan daripada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS, kata peniaga.

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.1890/1905 berbanding dolar AS daripada 4.1870/1905 pada Isnin.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata pelabur masih ragu-ragu menjelang keputusan mengenai kadar faedah oleh bank pusat AS, yang akan dibuat pada Rabu.

"Terdapat kemungkinan nyata bahawa Rizab Persekutuan akan menaikkan kadar faedah daripada 0.25 peratus kepada 0.50 peratus untuk membendung kesan inflasi.

"Jika ini berlaku, dolar AS boleh naik dengan ketara dalam tempoh beberapa hari akan datang berbanding ringgit. Ini juga menunjukkan peralihan yang besar dalam kedudukan bank pusat AS daripada menyokong kadar faedah rendah kepada kadar faedah tinggi dalam dasar monetarinya," katanya kepada Bernama.

Dari aspek teknikal, katanya, jika dolar AS melepasi melebihi 4.1950 berbanding ringgit, ia boleh naik kepada 4.2450 dalam tempoh beberapa hari.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama lain kecuali dolar Singapura.

Ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.7277/7294 daripada 4.7422/7462 pada Isnin dan naik berbanding pound kepada 5.6464/6484 daripada 5.6629/6677 semalam.

Ia turut mengukuh berbanding yen kepada 3.6723/6739 daripada 3.6854/6888 pada Isnin, bagaimanapun merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.1168/1184 daripada 3.1146/1175. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini