Ringgit ditutup tidak berubah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup tidak berubah


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, bergerak dalam jajaran kecil disokong oleh data ekonomi domestik yang positif apabila dolar AS kekal kukuh mendahului data inflasi AS minggu ini.

Indeks Harga Pengguna (CPI) AS dijangka kekal pada lebih 7.0 peratus pada Januari dan ini dijangka mengukuhkan laluan kepada kenaikan kadar faedah pada Mac, justeru menyokong dolar AS, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan tidak berubah pada 4.1835/1865 berbanding dolar AS daripada 4.1835/1850 sewaktu ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata dengan aliran data ekonomi Malaysia yang dalam keadaan agak baik, peningkatan jumlah kes COVID-19 mungkin menyebabkan pasaran mengambil kira apa yang sebenarnya berlaku.

"Pasaran berhati-hati sama ada peningkatan dalam kes baharu boleh membawa kepada langkah sekatan terhadap pergerakan. Setakat ini, kerajaan telah memberi jaminan tidak akan berlaku sebarang penutupan," katanya.

Mohd Afzanizam juga menyatakan bahawa Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) Malaysia pada suku keempat 2021 mencapai 6.9 peratus tahun ke tahun selepas penguncupan 1.1 peratus pada suku sebelumnya manakala Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan berada di atas 50 mata pada tempoh yang sama.

"Oleh itu, kita mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 3.1 peratus bagi suku akhir 2021 selepas penurunan 4.5 peratus pada suku sebelumnya," tambahnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1106/1131 daripada 3.1102/1115 sewaktu ditutup pada Isnin dan jatuh berbanding pound Britain kepada 5.6691/6731 daripada 5.6536/6556.

Unit tempatan itu meningkat berbanding yen Jepun pada 3.6258/6284 daripada 3.6369/6385 pada Isnin dan melonjak berbanding euro kepada 4.7713/7747 daripada 4.7780/7797 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini